ALEESYA POV
MATAKU MENCERAP pada buku yang ada di hadapan, aku cuba untuk memahami setiap perkataan yang ada pada helaian kertas putih ini namun fikiran yang sudah menerawang jauh melintasi laut china selatan membuat aku hilang tumpuan. Sudah genap setengah tahun persamaan enam bulan aku dan Anaz tidak bersua, masing-masing sibuk dengan kuliah, hanya suara dan panggilan video saja yang menjadi pengubat rindu. Kadang-kala terlintas dibenakku, mampukah hubungan cinta jarak jauh ini dipertahankan sehingga ke jannah.
Aku tersentak dari lamunan bila namaku dilaungkan dengan kuat dari arah ruang tamu pangsapuri ini. "Aleesya!" suara feminin yang terhasil membuat kepala aku panggung ke pintu.
Apabila figura teman sebilikku itu tidak kelihatan, aku mula kumpulkan sepenuh tenaga bagi melontarkan suaraku dengan nyaring. "Aku kat dalam bilik ini Cha!"
Tidak sampai tiga detik pengiraan, wajah Cacha kini muncul dari muka pintu, pandangan Cacha singgah padaku yang sedang duduk di meja belajar sebelum melempar malas badan di atas katil kecil miliknya.
Asrama yang kami diami ini mempunyai empat buah bilik kesemunya. Aku dan Cacha berada disalah satu bilik kecil, walaupun kecil tapi bilik ini lebih privasi dan selesa berbanding bilik lain.
"Lewat balik Cha." Sapaku pada Cacha yang sedang sibuk melihat pada skrin iPhone miliknya, sebelah tangan pula memintal-mintal helaian rambutnya pada jari telunjuk.
"Aku ada pembentangan tadi, itu pasal balik lewat." Badan Cacha angkat bangun lalu duduk pada birai katil. Kepala dia kalih padaku seraya berkata, "Leesya, kita orang nak pergi kelab malam ini, kau nak ikut tak?" sambung Cacha membuat kepalaku memanggung ke arahnya. Kening aku jongket.
"Hrmmm... " hujung pen yang ada dicela jari aku gigit, tak tahu nak jawab apa pada soalan Cacha. Kalau aku pergi, aku kena minta izin dengan Anaz, bukannya Anaz tak kasi tapi khutbah yang dia bagi itu panjang berjela, kalah khutbah Jumaat.
Cacha bersuara membuat konsentrasiku kembali beralih padanya, "aku tengok kau ini asyik hadap buku je, tak bosan ke?" aku kerut kening, sudah nama pun pelajar, mestilah berkait dengan buku... takkan aku nak susun batu-bata, buat simen bangunan pula. Kadang-kadang tak masuk akal tutur Cacha ini.
"Tak bosan pun. Membaca itu amalan mulia." Tenang riakku saat menuturkan bicara tersebut. Bibir Cacha menjuih.
"Aik, sindir nampak." Terus aku sengih. Nampaknya otak Cacha menunjukkan peningkatan yang baik sebab dapat menangkap bahasa kiasanku.
Telefon bimbit Cacha letak ditepi bantal, tumpuan dialih sepenuhnya padaku. Ini mesti dia nak pujuk aku lagi ini macam selalu dia buat.
"Alah! Jomlah temankan aku malam ini je bestie, please!" riak wajah Cacha sekarang ini sama sebiji dengan kucing animasi yang pakai kasut but masa bola mata hitamnya membesar pujuk Shrek, si raksasa hodoh yang berwarna hijau itu.
"Pakwe kau mana?" topik perbualan aku tukar. Tumpuanku kembali pada buku yang aku abaikan. Nak menelaah satu buku pun susah, banyak betul syaitan yang yang bertenggek di dalam bilik. Salah satunya itu hah yang tengah desak aku ini.
"Takkan asal nak pergi kelab malam je kena pergi dengan pakwe? Tolonglah Leesya!" bidas Cacha tidak berpuas hati dengan soalan aku ajukan. Tapi aku tanya je kot yang dia nak meroyan tiba-tiba kenapa?
Ini kalau dalam dewan peperiksaan Cacha jawab macam ini, sah-sah dapat markah kosong sebab tidak menjawab pada soalan sebenar.
Aku berdecit, "yelah-yelah aku pergi. Pukul berapa nak gerak ini?" jawabku akur. Malas aku nak berdebat dengan Cacha, sah-sah dia yang selalu menang.
Tapi apa salahnya sesekali pergi berhibur, nak juga buang bosan, takdelah terperap je dalam asrama ini dengan pelajar lain. Badan pun dah makin kaku.
Cepat bibir Cacha menguntum senyum, "hah! Macam inilah baru namanya sahabat sejati aku." Terus aku memekkan muka sambil mata bergulir ke atas.
"Oh, kalau tadi aku tak pergi, maksudnya aku ini bukan sahabat kaulah ek?!" bibir aku ketap.
Cacha awangkan tangan ke depan sambil digerak ke kiri dan kanan seperti sedang mengelap cermin lut sinar. "Bukan itu maksud aku. Aku maksudkan senang sama-sama, tapi kalau masa susah jangan cari aku tau!" seloroh Cacha lalu tergelak sendiri. Puas aku cari titik lucu itu dalam ayat tersebut, tapi tak jumpa... mana dia sorok?
Aku berdecit sebelum membidas kata-kata Cacha, "kau memang Cha! Macam inilah namanya kawan dalam senang." Aku tarik muka, nak merajuk olok-olok konon. Ini kalau dia tak pujuk memang aku takkan teman dia keluar berdansa.
"Alah, tu pun nak ambil hati. Aku gurau jelah. You can count on me." Tanpa bersuara senyumanku terukir, terkesan dengan omong Cacha.
Mudah tertipulah kau ini Aleesya!
"Kau siap-siap la sekarang, bila-bila masa je Dhia sampai." Akhirnya Cacha menjawab juga pada soalanku.
Baru aku rancang nak tidur sekejap, tapi lepas mendengar kata-kata Cacha terus aku matikan niatku.
Dhia ini satu kolej dengan kami merangkap kekasih Cacha. Kalau tidak silap aku, mereka berdua mula pacaran masa tahun pertama lagi kami dekat sini, sekarang sudah masuk tahun kedua. Cinta kampuslah katakan.
Cacha bingkas bangun dari katil lalu mengeluarkan stok beg yang dipenuhi dengan alat solek. Wajah yang pucat dia mula calit dengan alas bedak.
Buku Business Management aku tutup rapat. Pen, pencil, pemadam, pen penanda berwarna dan segala yang berkait dengan alat tulis aku masukkan semula ke dalam kotak pensil.
Selepas membersihkan diri, aku menuju ke almari yang terletak di antara katilku dan katil Cacha. Gaun singkat berwarna hitam aku masukkan ke tubuh mungilku. Bahagian belakang gaun ini terdedah sikit dan hanya ada satu tali saja perlu diikat bagi mencantumkan bahagian kiri dan kanan gaun yang terpisah.
Aku kalih kepala pada Cacha yang sedang menggunakan maskara berwarna hitam pada bulu mata asli sebelum memasang bulu mata palsu yang lebih tebal, mengalahkan bulu mata Che Tah dah.
Sifat tidak mahu kalah aku pada Cacha mula timbul. Wajah aku rias dengan solekan berat ditambah dengan kilauan yang berkerdipan pada kelopak mata.
Ambik kau! Ini kalau orang nampak boleh silau mata orang itu. Apa aku kisah, janji aku lawa dari Cacha, itu sudah pasti. Tapi yang aku dan Cacha berhabis nak bersolek ini bukannya nampak dalam gelap pun. Arh lantaklah!
Sempat anak mataku berlari ke arah Cacha yang sibuk nak kepuk-kepukkan rambutnya. Nak juga aku buat, tapi macam tak sempat je, kang ada orang itu rambut sebelah kepuk sebelahnya lagi lurus.
Siapa orang itu? Akulah bongok! Tak pandai fikir sendiri otak aku saat ini, sibuk juga nak bertanya.
Kedengaran bunyi mesej masuk dari telefon Cacha, membuat dia mula bersuara, "Leesya, tolong tengok apa Dhia mesej aku itu." Belum tengok pada nama pun Cacha dah tahu ke empunya pengirim itu? Hebat! Hebat!
Aku yang bagai lembu dicucuk hidung mula mengambil telefon bimbit milik gadis ini yang berada di tepi bantal.
Dear, bb dah sampai... bb tunggu kat bawah ini.-Dhia
"Dear, bb dah sampai... bb tunggu kat bawah ini." Aku tutur pesanan ringkas dari Dhia dengan kuat membuat Cacha mencebik.
"Nak balas apa?" soalku bagaikan seorang pembantu peribadi pada wanita yang masih sibuk menguruskan rambutnya.
"Tak payah balas, biar dia tunggu kita." Selamba tutur Cacha membuat dagu aku cecah lantai sebelum menggigit pada bibir.
20 minit kemudian, baru Cacha selesai mengulung rambutnya seperti maggi. Aku yang sudah kebosanan menunggu ditambah dengan omel Anaz membuat wajahku makin kelat.
Arh! Lantaklah, malas aku nak bersungut masa nak keluar macam ini. Cepat-cepat aku kerah langkah menuju ke pintu utama.
Walaupun bahagian pengurusan asrama telah menetapkan had masa bagi semua pelajar keluar tidak melebihi pukul 11 malam tapi ramai juga pelajar hantu yang melanggar peraturan tersebut termasuklah kami.
Alah, bukannya sekuriti dekat depan perumahan kami ini kena upah jaga semua pelajar, malah selamba badak je lambai tangan masa kami nak keluar pagar. Hanya ada beberapa buah rumah saja yang pihak pengurusan kolej sewa, selebihnya penghuni awam.
"Hai Dhia... " sapaku apabila duduk dilabuhkan pada kerusi belakang. Pintu kereta aku tutup perlahan.
"Hai Leesya," jawab Dhia sambil kepala memanggung melihat ke arahku, senyum kecil terukir.
Tiba di kawasan parkir berdekatan kelab malam, kakiku baru hendak melangkah keluar dari kereta, sudah terdengar dari jauh bunyi enjin kereta yang berkuasa tinggi membelah sunyi sebelum kereta sport tersebut muncul dan berhenti di sebelah kereta milik Dhia.
Figura seorang lelaki mula keluar dari arah pintu pemandu kereta Nissan Fairlady yang berwarna merah. Rambut depannya mencecah kening alah-alah gaya rambut oppa kpop tapi tetap terserlah wajah kacaknya membuat aku menjuih bibir. Apabila pandangan mata kami bersatu, muncul lesung pipit pada kedua belah pipinya membuat jantungku tiba-tiba berdegup laju dari biasa. Ingat pakwe Aleesya! Sempat aku menasihati diriku yang sedikit leka.
Wangian maskulin menusuk ke rongga hidungku apabila tubuhnya kini berada di hadapanku. Sepasang mata miliknya sudah menjelajah setiap inci kulitku membuat getaran di dada semakin tidak keruan.
Bahunya tiba-tiba Cacha tepuk membuat dia tersentak dari terus dijampi oleh gadis yang bernama Aleesya.
Ceh! Perasan lebihlah kau Aleesya.
"Hamboi Shady, mata kau macam nak terjojol keluar je pandang Leesya, sorok sikit rasa teruja itu." Lenganku dipaut Cacha lalu menyambung bicaranya, "Leesya ini dah berpunya, kau tak payah nak beranganlah."
Wajah Shady sudah merah padam, bibir diketap. Terasa mungkin dengan seloka Cacha.
Rangkulan Cacha pada tangan kutolak, diganti dengan memaut tangan Shady yang berlapik baju kemeja. Shady tergamam sedikit dengan tindakanku, seketika senyumnya mula meleret.
Cacha tepuk dahi. "Kamu berdua ini macam belangkas betul, susah nak pisahkan." Adu Cacha, pinggangku dia cuit kecil.
"Ouch! Sakitlah bongok!" tanganku mula memuyu-muyu pinggangku yang tidak sakit sebelum tangan kekar Shady diganti disitu membuat aku mendongak melihat wajahnya.
"Kat mana sakit? Sini?" soal Shady prihatin. Kening aku jungkit tapi tetap mengangguk. Sayang juga Shady dekat aku.
"Gedik!" gumam Cacha sambil menjeling ke arahku. Cemburulah itu!
Jari Shady yang sedang menari pada pinggangku membuat aku terbuai seketika.
Deheman yang datang dari Cacha mengganggu keasyikan yang aku rasakan. "Dah sudah Mr. dan Mrs. Shaafiy Daryan?" panggil Cacha dengan nama penuh Shady, suka hati je dia panggil aku macam itu, ini kalau Anaz dengar boleh naik hantu dia.
"Maaf telah mengganggu tuanku dan permaisuri bermain di taman larangan ini, tapi ada baiknya kalau kita semua berangkat masuk ke dalam istana memandangkan patik dan rakan-rakan patik yang lain sedang menanti kedatangan HANGPA berdua... jom bb," cepat saja Cacha berubah riak lalu merangkul lengan Dhia berjalan meninggalkan aku dan Shady. Kami berdua yang terkebil mula memandang wajah sesama sendiri sebelum tergelak sama. Dari belakang aku dan Shady mengekori langkah mereka berdua.
Berbanding dengan kawan lelaki yang lain, aku lebih akrab dengan Shady... mungkin juga kerana dia muda setahun dari aku dan kami berdua sama-sama anak tunggal. Masing-masing butuhkan pengertian dan kasih sayang dari seorang kakak dan adik... tak salahkan?
Bunyi bising kini menjadi makanan telingaku sehingga getaran yang terhasil boleh mengejutkan seluruh organ dalamanku, nasib je ada lemak dan isi sebagai penghadang kalau tidak semuanya sudah terburai keluar.
Lampu malap silih berganti berkejar-kejaran mahu menyalakan kecantikan cahayanya yang berwarna-warni. Masing-masing tidak mahu mengalah sehingga membuat pandangan mataku berpinar. Ini kalau hari-hari kena boleh buta.
Sentuhan tangan Shady terasa sejuk bila mengenai kulit belakangku yang terdedah. Mungkin dia perasan akan ketidakselesaanku, cepat dia alihkan rangkulan tangannya ke pinggangku yang dibaluti kain. Keluhan lega aku lepaskan bila bulu tengkukku yang tadinya berdiri kini sudah kembali beradu.
Senyumku terus melebar bila tertancap pada wajah teman-temanku, mereka semua pelajar satu kolej denganku cuma beza bidang dan tahun saja. Pandanganku terhenti pada figura wanita yang sedang memakai gaun singkat menampakkan asetnya yang gebu gebas. Dia tersenyum lebar pada Shady namun senyuman itu hilang bila bola matanya berhenti padaku, jelingan yang dia lempar terasa tajam menghiris anak mataku.
Tiba-tiba punggungku didorong ke tepi membuat aku dan Shady terpisah. Wajah Tasya dengan senyum sinisnya mencerlung tajam ke arahku. Aku kebil-kebilkan mata, cepat juga dia berubah tempat, tiba-tiba sudah terpacak di sebelah Shady.
Sengaja Tasya melagakan dada montoknya ke lengan Shady. Naik meluat pula aku tengok perangai liarnya ini.
Itulah matlamat hidup Tasya, nak sangat hidup senang, sanggup tergedik dengan anak Dato'. Kasihan juga aku tengok Tasya yang berusaha nak perhatian tapi Shady buat tak layan.
Dari aku sibuk memikirkan hal orang lain, baik aku cari air bagi membasahkan tekak yang terasa haus ini.
"Terima kasih." Ucapku pada Dhia bila gelas jernih berisi air gelap diberi padaku. Aku dekatkan ke hidung, baunya menusuk kuat. Aku dah janji dengan Anaz yang aku takkan minum alkohol malam ini.
Tapi inikan kelab malam, takkan nak minta teh tarik pula. Arh lantaklah! Alkohol pun alkohol la, tekak aku sudah menjerit minta dibasahkan.
Baru aku nak teguk, tiba-tiba ada tangan menarik gelas tersebut dariku membuat kepala aku kalih pada tuan empunya tangan dengan bibir diketap geram.
Comments (0)
See all