“Argh!!” suara jeritan kedengaran.
“Sup!” bunyi sesuatu disedut menghilangkan jeritan tersebut.
“Berita utama malam ini. Seorang pelajar kolej perempuan di Kelantan dan seorang pelajar kolej lelaki di Pahang didapati hilang secara tiba-tiba. Pihak polis sedang membuat siasatan ke atas dua orang pelajar ini. Bukti yang dapat dijumpai hanyalah telefon bimbit namun bukan milik mangsa…,”
*****
9 tahun kemudian…
Kelihatan seorang gadis yang bercermin mata petak, bertudung yang dililit tepi, sedang berjalan menuju ke perpustakaan.
Gadis itu melalui di kawasan sunyi sebagai jalan pintas. Tanpa disedari, dia diekori oleh 3 orang lelaki. Telefon bimbitnya berbunyi menandakan terdapat mesej masuk.
Terhenti perbuatannya apabila dia ingin mencapai telefon bimbitnya yang berada di dalam poket kotnya. Gadis itu terasa sesuatu lantas dia mempercepatkan langkahnya.
“Nak lari ke mana, cik adik?”
Salah seorang dari lelaki itu sudah berada di hadapan gadis itu. Gadis itu menoleh ke kiri dan ke kanan namun dirinya sudah dikepung.
Dia cuba beredar dari situ namun kot hitam yang dipegangnya ditarik kasar oleh salah seorang lelaki tersebut menyebabkannya jatuh terduduk.
“Argh!”
Kesakitan gadis itu. Jeritan gadis itu didengari oleh Nik Akhil yang kebetulan melalui laluan tersebut.
Telefon bimbit yang berbunyi itu terus dimasukkan ke dalam jaketnya sebelum berlari ke arah jeritan tersebut.
“Korang…nak apa?”
Gadis itu mula menggigil ketakutan.
“Hehehe…cik mainlah dengan kami dulu. Janganlah takut,”
Mereka mula mendekati gadis itu yang sedang mengesotkan badannya ke belakang.
“Kalau saya nak turut main dengan abang-abang sekalian boleh?”
Suara Nik Akhil mengalihkan pandangan ketiga-tiga lelaki tersebut. Mereka menjauhi gadis itu dan mula mendekati Nik Akhil.
“Kau siapa nak menyibuk kat sini, hah?!” marah salah seorang dari lelaki itu.
Nik Akhil senyum sinis memandang ketiga-tiga lelaki yang sudah mengepung dirinya. Jaket hitam yang dipakainya dicampak bersebelahan dengan kot hitam gadis itu.
“Tiga nak lawan sorang? Korang tak malu ke?” perli Nik Akhil.
Sempat dia memberi isyarat kepada gadis itu supaya melarikan diri dari situ.
Tanpa membuang masa, gadis itu mencapai kotnya sebelum beredar dari kawasan tersebut.
“Wan! Zack! Mari kita ajar budak ni sikit. Berani betul nak kacau kita,” arah salah seorang daripadanya yang berlagak seperti ketua.
“Marilah,” sengaja Nik Akhil membangkitkan kemarahan mereka.
Tumbukan terus dilayangkan ke arah muka Nik Akhil. Tindakan pantas Nik Akhil berjaya mengelak dan menumbuk pipi Wan.
Zack yang tidak sempat untuk memukul badan Nik Akhil menggunakan sebatang kayu turut ditumbuk di bahagian perut oleh Nik Akhil.
“Tak guna!”
Beberapa minit kemudian, ketiga-tiga lelaki itu sudah terbaring di atas jalan tar. Teruk mereka dibelasah oleh Nik Akhil.
“Dah tahu lemah ada hati nak belasah orang. Ini Nik Akhil tau. KL Gengster!” bangga Nik Akhil sebelum tunduk mengambil jaketnya.
“Eh? Ini bukan jaket saya ni,” pelik Nik Akhil sambil membelek-belek kot yang dipegangnya.
Kedengaran telefon berbunyi dari poket kot tersebut sebelum Nik Akhil mengeluarkan telefon tersebut.
Di hadapan perpustakaan, Siti Syazanah termegah-megah. Nafas cuba diaturkan kembali. Telefon bimbit yang berbunyi mengejutkannya.
“Telefon siapa ni?” pelik Siti Syazanah apabila mengeluarkan telefon bimbit itu dari kocek jaket hitam yang dipegangnya.
“Jap. Ini bukan kot saya,”
Siti Syazanah mula sedar bahawa jaket yang dipegangnya bukan kot miliknya.
*****
Di dalam sebuah kedai buku, kedengaran beberapa pelajar perempuan sedang bergelak ketawa sambil berjalan ke kaunter pembayaran.
“Aina, kan ada orang sedang beratur tu. Janganlah potong barisan. Bagilah dia bayar dulu,” tegur Shasya Edrina apabila melihat rakannya selamba ke kaunter sedangkan terdapat seorang pelanggan lelaki sudah berdiri di kaunter tersebut.
“Tak apa. Cik bayarlah dulu,” mengalah lelaki itu sebelum berundur ke barisan belakang, iaitu di belakang Shasya Edrina.
“Terima kasih, encik,” selamba Aina sebelum mengeluarkan wang dari dompetnya untuk membayar novel.
“Teruknya perangai,” rungut Shasya Edrina sebelum menoleh ke belakang.
“Maafkan kawan saya tu, encik,” Shasya Edrina menundukkan kepalanya ke arah pelanggan lelaki tersebut.
“Tak apa, cik. Salah saya juga sebab termenung pula tadi,”
“Ed, cepatlah bayar. Kami dah nak balik ni,” nyaring suara Aina yang sudah berdiri di pintu kedai buku itu.
Shasya Edrina terus memalingkan kepalanya pada kawan-kawannya.
“Korang baliklah dulu. Jumpa esok, Aina, Aimi,” balas Shasya Edrina sambil meletakkan buku yang dipegangnya di atas meja kaunter.
“Jumpa kau esok,” lalu Aina dan Aimi keluar dari kedai buku tersebut.
Selepas membuat pembayaran, Shasya Edrina terus berjalan ke pintu keluar.
Langkahnya terhenti apabila terdengar bunyi telefon bimbitnya dari beg kertas kedai buku tersebut.
“Dush!”
Pelanggan lelaki itu terlanggar tubuh Shasya Edrina kerana sibuk berjalan sambil memasukkan telefon bimbitnya di dalam beg kertas kedai buku itu.
Beg kertas mereka terjatuh dari genggaman mereka.
“Maafkan saya, cik. Saya tak perasan cik tadi,” gelabah lelaki itu sambil mengambil beg-beg kertas yang berada di atas lantai.
“Salah saya juga sebab tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Maafkan saya, encik,” sesal Shasya Edrina sambil mengambil huluran beg kertas dari lelaki tersebut.
“Tak apa, cik,”
Selepas itu, mereka berjalan mengikut haluan masing-masing. Telefon yang berbunyi dari beg kertas tersebut menghentikan langkah mereka.
Shasya Edrina terus berdiri di tepi pejalan kaki kerana risau kejadian tadi berlaku lagi. Mereka serentak mengeluarkan telefon dari beg tersebut.
“Eh? Ini bukan telefon saya,” pelik mereka kerana beg kertas mereka tertukar sewaktu pelanggaran berlaku.
*****
“Ima pergi dulu, mak,” kata Nur Halimah sebelum melangkah keluar dari rumahnya menuju ke taman.
Nur Halimah berjalan-jalan di sekitar taman. Langkahnya terhenti apabila ternampak benda yang berwarna hitam berada di atas sebuah bangku. Matanya sudah bulat manakala mukanya mulai pucat.
“Ap..pa tu?” dia bertanyakan pada dirinya.
Apabila benda hitam itu mula bergerak, Nur Halimah terus berundur secara perlahan-lahan.
Tanpa membuang masa, dia terus berlari dari situ dengan matanya yang tertutup.
“Dush!”
Nur Halimah terlanggar dengan seorang lelaki yang sedang berjalan sambil melihat telefon dari arah bertentangan. Telefon yang dipegang mereka terjatuh akibat pelanggaran tersebut.
“Aduh! Sakitnya! Hoi, bangunlah! Dahlah berat!” marah lelaki itu.
Nur Halimah yang terasa menghempap sesuatu yang lembut terus membuka matanya. Terkejut dia apabila mendapati dirinya sedang menghempap seorang lelaki yang tidak dikenalinya lantas terus bangun.
Dia ternampak telefon yang berada di sebelah kakinya. Telefon tersebut dicapai sebelum menyambung lariannya.
“Tak betul ke dia tu?” pelik lelaki itu melihat Nur Halimah yang lintang pukang lari dari situ.
Telefon yang berada di hadapannya diambil sebelum dia berdiri. Telefon yang berbunyi menghentikan perlakuannya untuk menyapu kotoran pada seluar.
Nur Halimah turut berhenti berlari apabila telefon di dalam genggamannya berbunyi.
“Eh? Ini telefon siapa ni?” pelik mereka apabila melihat skrin depan telefon tersebut.
Tiba-tiba cahaya putih keluar dari keenam-enam telefon bimbit tersebut.
“Argh!” menjerit mereka.
“Sup!”
Sekelip mata sahaja, mereka berenam hilang. Yang tinggal hanyalah telefon bimbit yang bukan milik mereka, berada di lokasi terakhir mereka.
Comments (0)
See all