Ismail Razak memandang Nik Akhil dan Tengku Ehsan yang sedang ralit melihat tiga gadis bersembang.
Biasalah, perempuan kalau berjumpa, ada sahaja cerita mereka. Lagi-lagi dengan sikap Shasya Edrina yang sangat peramah orangnya.
“Ehem!” Ismail Razak berdehem untuk menarik perhatian mereka berlima.
Mereka berpaling ke arahnya.
“Saya tahu kita semua sedang memikirkan persoalan yang sama di dalam kepala. Tetapi, sebelum tu. Boleh masing-masing perkenalkan diri? Nak kami panggil nama apa?” Ismail Razak memulakan percakapannya.
“Nama saya Ismail Razak. Boleh panggil saya, Raz,” sambung Ismail Razak.
“Nama saya Nik Akhil. Panggil je, Akil,” balas Nik Akhil.
“Izan,” ringkas jawapan Tengku Ehsan.
“Nama saya pula, Shasya Edrina. Panggil saya, Ed. Yang ni Siti Syazanah, panggil Syaza je dan tu pula Nur Halimah, panggil Ima saja. Selamat berkenalan semua,” bersemangat Shasya Edrina ketika memperkenalkan dirinya dan dua gadis itu.
Siti Syazanah dan Nur Halimah menundukkan kepalanya sedikit ketika nama mereka disebut oleh Shasya Edrina.
“Ok. Soalan seterusnya, ni tempat apa? Macam mana kita berenam boleh sampai ke tempat ni?” tanya Nik Akhil agak keras suaranya.
Yang lain hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu.
“Semua pun tak tahu dan tak pasti bagaimana kita boleh masuk tempat ni. Yang saya ingat, saya ada dapat mesej pelik. Bila saya buka mesej tu, mata saya tiba-tiba silau,” kata Shasya Edrina.
“Tapi, itu bukan telefon saya,” sambungnya lagi.
“Itu bukan telefon awak sebab telefon kita bertukar semasa pelanggaran tu,” celah Ismail Razak.
“Hehe. Maaf,” bersalah Shasya Edrina kerana menjadi punca pelanggaran.
“Saya ada cerita ni. Saya tengok ada seorang gadis kena ganggu dengan tiga orang gengster. Saya belasah gengster tu dan suruh gadis tu lari dari situ. Boleh pula dia berlari dengan membawa jaket kesayangan saya sekali,” luah Nik Akhil dengan jelingan mata pada Siti Syazanah.
Terlopong mulut Siti Syazanah.
“Awak ke yang bantu saya tu? Maaf. Saya takut sangat sampai tersilap ambil jaket awak. Saya ingatkan itu kot kerja saya. Maaf sangat-sangat,” sesal Siti Syazanah.
“Saya teka dah awak mesti tak perasan saya,”
“Jap. Jadi, telefon saya ada pada awaklah?” soal Tengku Ehsan pada Nur Halimah.
“Awak ke lelaki yang langgar saya di taman tu?” balas Nur Halimah agak terkejut.
“Hei! Awak yang langgar saya ye!” geram Tengku Ehsan.
Nur Halimah terus menundukkan kepalanya dengan wajah yang membahang. Boleh pula dia berlari sambil memejam matanya. Nasib baik dia terlanggar orang. Kalau dilanggar kereta, arwah jawabnya.
“Dah dah. Kita kena fikir macam mana kita nak keluar dari tempat ni,” halang Shasya Edrina.
Mereka berenam mula berfikir.
“Eh? Awak pakai cermin mata ke? Saya pun pakai juga cermin mata tapi tak tahu kat mana dia menghilang,” kata Ismail Razak pada Siti Syazanah.
“Awak nampak jelas tak ni?” soal Shasya Edrina sambil melambaikan tangannya di hadapan wajah Ismail Razak.
“Bila saya bangun tadi, saya terkejut sebab saya boleh nampak dengan jelas,” bersemangat Ismail Razak bercerita.
Nik Akhil yang sedang merenung wajah Siti Syazanah terus menanggalkan cermin mata gadis itu.
“Awak buat apa ni?” terkejut Siti Syazanah dengan tindakan lelaki itu.
Dia cuba mencapai cermin matanya namun tidak berjaya. Nik Akhil merapatkan mata kanannya dengan cermin mata itu.
“Tak ada power pun. Baik awak tak payah pakai,” Nik Akhil melipat cermin mata itu sebelum diselitkan pada kocek bajunya.
Siti Syazanah mengambil cermin matanya dan terus memakainya semula.
“Saya tak selesa kalau tak pakai,” ujar Siti Syazanah.
“Tapi, awak nampak lebih cantik tanpa cermin mata,” senyuman Nik Akhil menyebabkan Siti Syazanah menjadi kaku.
Mukanya mula merah menahan malu.
“Err..korang..,” lembut suara Nur Halimah.
Mereka berlima serentak memandang Nur Halimah yang sudah berada hujung lubang itu.
“Saya ada jumpa lubang lain,” kata Nur Halimah sambil menunjukkan lubang yang dijumpainya.
Mereka mendekati Nur Halimah.
“Jom kita masuk. Saya tak ada firasat buruk dengan pokok ni. Ima pun setuju dengan saya,” bersemangat Shasya Edrina yang sudah bersedia untuk masuk.
“Jap jap! Nanti dulu. Biar lelaki yang masuk dulu,” halang Ismail Razak.
“Kenapa pula?” pelik Shasya Edrina.
“Kami nak pastikan ianya selamat atau tak,” yang lain hanya akur.
Sebenarnya, Ismail Razak enggan perkara tadi berulang kembali. Rosak mata mereka nanti. Bertambah dosa sahaja.
Nik Akhil, Tengku Ehsan dan Ismail Razak masuk ke dalam lubang itu. Terkejut mereka apabila terdapat ruang yang luas sehingga mereka mampu untuk berdiri.
“Betul ke kita berada di dalam pokok ni?” tergamam Nik Akhil.
“Ismail Razak! Tolong saya! Kaki saya masih sakit ni,” panggil Shasya Edrina.
Ismail Razak mencapai sebatang kayu berbentuk senduk sebelum menghulurkan pada Shasya Edrina yang berada di dalam lubang. Shasya Edrina memegang hujung kayu itu sebelum Ismail Razak menariknya dari lubang tersebut.
“Akil, tolong ambil beg ni,” pinta Siti Syazanah sambil menghulurkan beg galasnya kepada Nik Akhil yang sedang berdiri di sebelah pintu lubang sambil berpeluk tubuh.
“Itu pun nak suruh orang ambil,” gumam Nik Akhil sebelum mengambil huluran beg itu.
Selepas Siti Syazanah keluar dari lubang itu, Nur Halimah pula yang melalui lubang tersebut. Mereka berenam berjalan menerokai kawasan yang luas itu.
“Kita berada di rumah orang ke ni? Ada senduk, sudu, pinggan, periuk…semuanya dibuat sendiri,” kagum Ismail Razak sambil membelek beberapa perkakasan dapur yang berada di lubang dinding tersebut.
“Awak buat apa tu?” soal Nur Halimah apabila melihat Tengku Ehsan sedang mengelap meja dan kerusi.
Meja dan kerusi yang seperti diperbuat daripada batu. Tetapi, bila diduduk, terasa lembutnya seperti duduk di atas sofa.
“Hoi! Janganlah campak beg merata-rata tempat!” terkejut semua apabila mendengar tengkingan Tengku Ehsan semasa Nik Akhil mencampak beg Siti Syazanah ke atas tanah.
"Apa masalah kau ni? Tiba-tiba tengking orang?!" geram Nik Akhil.
“Merujuk kepada Surah al-Baqarah, ayat ke 222 yang bermaksud, ‘…Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersihkan dirinya.’. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa kebersihan itu adalah separuh daripada iman. Maka dengan itu, jelaslah bahawa kebersihan adalah sangat dituntut dalam Islam. Ini kerana kesempurnaan seseorang mukmin selepas beriman kepada Allah ialah menjaga kebersihan, sama ada kebersihan terhadap dirinya sendiri mahupun perkara yang berhubungan dengan dirinya seperti bilik, halaman rumah, pakaian, makanan dan juga tempat belajar...,” ceramah Tengku Ehsan.
“Ye ye! Saya letak beg ni di atas meja. Ok?” Nik Akhil mengambil semula beg itu sebelum meletakkannya di atas meja.
“Tak boleh juga. Meja digunakan untuk kita meletakkan sesuatu seperti makanan, buku…,” wajah Nik Akhil mula berubah menjadi bengis.
Tangan Nik Akhil mula dikepal menahan marah. Siti Syazanah yang melihat perubahan wajah Nik Akhil terus menyampuk.
“Dalam beg tu ada makanan, Izan. Tadi kami ada jumpa makanan,” beg yang berada di dalam genggaman Nik Akhil terus dicapainya.
“Makanan?!” serentak mereka bersuara.
“Apa dia makanannya?” ceria muka Shasya Edrina mendekati Siti Syazanah yang berada berdekatan dengan meja.
Siti Syazanah mengeluarkan beberapa buah yang unik dan diletakkan di atas meja.
“Boleh makan ke ni? Macam pelik je buah ni,” ragu Tengku Ehsan sambil membelek sebiji buah yang diambil dari meja itu.
“Kalau tak nak makan, tak perlu makan,” kasar suara Nik Akhil.
“Kita perlukan makanan untuk menambah tenaga dalam badan. Kami pun tak pasti sama ada buah ni boleh dimakan atau tak. Tapi, kalau dah darurat macam ni, kita kena makan juga buah ni kalau tiada makanan yang boleh dimakan selain buah ni,” ujar Siti Syazanah.
“Jadi, siapa nak cuba dulu?” soal Ismail Razak sambil memandang yang lain.
“Biar saya cuba. Lagipun, saya tiada firasat yang buruk tentang buah-buahan unik ni,” Nur Halimah mempelawa dirinya.
“Kalau begitu, saya potong buah-buah ni,” Siti Syazanah terus mengeluarkan pisau lipatnya dari beg galasnya.
“Letak dalam ni, Syaza,” sempat Shasya Edrina mencapai sebiji mangkuk yang berada di dalam lubang dinding sebelum meletakkannya di atas meja.
Selepas memotong beberapa jenis buah, Siti Syazanah menyusun buah tersebut di dalam mangkuk.
“Bismillah dulu,” pesan Tengku Ehsan semasa Nur Halimah mengambil sepotong buah.
“Bismillahirrahmanirrahim…,”
Semua memberi tumpuan ketika suapan dimasukkan ke dalam mulut Nur Halimah. Bulat mata Nur Halimah sambil mengunyah buah tersebut.
“Sedap. Rasanya manis seperti buah tembikai,” kata Nur Halimah.
“Kau tak rasa apa-apa yang pelik pada badan kau ke?” tanya Tengku Ehsan.
“Tak ada apa-apa. Cuma ada rasa panas je tapi panas macam makan buah durian je. Marilah rasa sama-sama,” jawab Nur Halimah.
Siti Syazanah tekun menulis sesuatu di dalam buku notanya sambil melihat reaksi yang lain ketika mencuba buah-buahan itu.
“Kau tak nak rasa ke?” tegur Nik Akhil pada Siti Syazanah.
“Kejap lagi saya rasa,”
“Jangan nak mengada!” Nik Akhil terus menyumbat sepotong buah ke dalam mulut Siti Syazanah.
“Hmm!” geram Siti Syazanah.
Dia terus mengetuk bahu Nik Akhil menggunakan buku notanya tapi sempat ditempis. Geli hati Nik Akhil melihat muka cemberut Siti Syazanah.
“Korang berdua ni ada apa-apa ke?” tanya Shasya Edrina ingin tahu.
Berubah muka Nik Akhil dan Siti Syazanah mendengar pertanyaan Shasya Edrina. Selepas menelan makanan di dalam mulutnya, Siti Syazanah pun bersuara.
“Jangan merepeklah. Saya ada tulis maklumat buah-buahan ni. Selepas ni, bolehlah kita keluar mencari makanan ni supaya kita sentiasa ada stok makanan,”
Ismail Razak mengambil buku nota itu sebelum membacanya dengan sedikit kuat.
Buah betik
- ringan tidak seperti buah betik biasa
- rasanya seperti buah oren
- boleh memanaskan badan
Buah tembikai
- ringan dan lembut seperti bola sepak
- rasanya seperti tembikai yang manis
- memberi tenaga
Buah oren
- isinya berwarna merah
- rasanya seperti pisang lemak manis
- boleh menghilangkan rasa lapar
Buah tomato ceri
- boleh makan dengan kulit sekali
- rasanya masam seperti limau
- boleh menghilang rasa haus
“Bagusnya Syaza!” bangga Shasya Edrina dengan kecekapan Siti Syazanah yang sempat mencatit maklumat buah-buahan itu.
“Ed tak pernah terfikir pun nak buat nota macam tu,” sambungnya lagi.
“Kau tahu cakap dan makan je,” perli Nik Akhil.
“Apa kau cakap?!” geram Shasya sambil menjeling tajam ke arah lelaki itu.
“Dah dah. Pasal makanan, kita tidak perlu risau. Cuma, bagaimana kita nak keluar dari tempat ni,” halang Ismail Razak sebelum berlaku pergaduhan di situ.
“Duduk, Nik Akil,” arah Siti Syazanah.
Nik Akhil mendengus perlahan sebelum melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Siti Syazanah. Shasya Edrina turut duduk bersebelahan dengan Nur Halimah selepas diarahkan oleh Siti Syazanah.
Comments (0)
See all