“Ima?!” cemas Siti Syazanah dan Shasya Edrina.
“Apa yang kau buat ni, Izan?! Kenapa kau membiarkan Ima di sana?!” geram Ismail Razak.
“Shu! Si penakut tu kata dia nak cuba berkomunikasi dengan makhluk tu. Kita tengok macam mana reaksi makhluk tu,” ujar Tengku Ehsan.
Makhluk itu memandang wajah Nur Halimah yang sedang tersenyum lebar. Nur Halimah memandang setiap inci wajah makhluk itu. Tinggi seperti zirafah. Besarnya seperti beruang. Wajahnya pula seperti king kong dengan badannya yang penuh dengan bulu. Nur Halimah menundukkan kepalanya ke arah makhluk itu.
Tanpa disangka, makhluk yang boleh berdiri dengan dua kaki itu turut menundukkan kepalanya ke arah Nur Halimah. Dia tersenyum melihat tindak balas makhluk itu.
Dengan beraninya, Nur Halimah mendekati makhluk tersebut. Tangan berbulu itu diusapnya perlahan. Usapan itu menyebabkan makhluk tersebut duduk sambil menyuakan lehernya pada Nur Halimah dengan manja.
Geli hati Nur Halimah melihatnya. Dia terus mengusap leher makhluk itu. Sungguh manja makhluk itu sambil badannya digolekkan di atas daun-daun kering. Seperti kucing pula apabila seronok lehernya diusap.
“Macam seronok je,” Shasya Edrina terus ke arah Nur Halimah.
“Ed?!” terkejut mereka.
“Saya rasa makhluk tu tidak berbahayalah,” fikir Ismail Razak sambil berdiri.
Yang lain turut berdiri memandang Shasya Edrina dan Nur Halimah yang ligat mengusap badan makhluk itu. Siti Syazanah baru menyedari bahawa dirinya bersama-sama dengan tiga jejaka yang bukan mahramnya.
Belum sempat kakinya melangkah, dia terasa hembusan nafas pada lehernya. Secara perlahan-lahan, kepalanya ditoleh ke belakang.
Nik Akhil yang pelik dengan perubahan muka gadis itu turut menoleh ke belakang.
Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapat seekor makhluk gergasi berada di belakang mereka. Malah, kepala makhluk itu berada separas dengan kepala mereka dan jarak mereka hanyalah seinci dua sahaja.
Siti Syazanah terundur sedikit. Jantungnya sudah mengepam dengan lajunya. Nik Akhil yang turut terkejut dengan kehadiran makhluk itu terus menumbuk wajah makhluk tersebut.
“Harh!!” mengaum kesakitan makhluk itu.
Gaumannya amat membingitkan telinga mereka.
“Cepat lari!” arah Nik Akhil.
Sempat dia menarik lengan Siti Syazanah sebelum berlari menjauhi makhluk itu. Ismail Razak dan Tengku Ehsan turut berlari apabila makhluk itu mula mengamuk dengan menghentakkan kakinya menyebabkan getaran yang kuat di kawasan itu.
“Kenapa tumbuk dia, Nik Akhil?!” tanya Siti Syazanah selepas mereka berhenti berlari.
Tercunggap-cunggap mereka kerana kepenatan. Mereka berdua menyorok di sebalik pokok besar yang mampu menyembunyikan tubuh mereka berdua.
Nik Akhil memandang mata Siti Syazanah yang sedang menahan kemarahan itu. Tangannya sudah melepaskan lengan gadis itu yang berlapikkan dengan baju.
“Saya terkejut sangat bila nampak muka hodoh tu,” selamba jawapan Nik Akhil tanpa berasa bersalah.
“Nik Akhil! Kenapa awak suka bertumbuk? Awak tahukan yang ianya akan menyakitkan orang lain? Tadi pun awak hampir menumbuk Izan, kan? Cuba bersabar sikit, Nik Akhil,” bebel Siti Syazanah namun masih mengawal kemarahannya.
Nik Akhil mendengus kasar. Dia buat macam tu semua untuk gadis itu juga. Namun, gadis yang dia selamatkan tidak menyebelahinya malah memarahinya pula.
“Kau ingat aku buat semua tu untuk siapa, hah?!” Nik Akhil mengubah kata nama dirinya akibat kemarahannya semakin menggunung.
Matanya tajam memandang mata gadis itu. Gadis itu menelan air liur apabila bertentang mata dengan jejaka itu. Pertama kali dia dimarahi oleh seseorang yang berlainan jantina dengannya.
Siti Syazanah menundukkan kepalanya memandang ke bawah apabila air matanya mula bergenang. Tangannya memegang erat bajunya yang labuh pada paras lutut itu. Nik Akhil melihat gadis itu menggigil mula berasa bersalah kerana meninggikan suaranya.
“Itu pun nak menangis. Kenapa perempuan ni suka menyelesaikan masalah dengan air mata?” rungut Nik Akhil perlahan namun dapat didengari di telinga Siti Syazanah.
“Korang berdua ok ke? Ada sesiapa yang cedera?” soal Ismail Razak yang baru tiba di tempat mereka.
“Makhluk tu dah bertenang semula selepas seekor lagi menghalang amukan tadi. Ima dan Ed sedang menenangkannya tu,” sambung Ismail Razak.
Pertanyaan Ismail Razak tidak dijawab. Peliknya melihat wajah dingin Nik Akhil dan wajah muram Siti Syazanah yang masing-masing enggan memandang antara satu sama lain.
“Kenapa dengan korang berdua ni?” tanyanya lagi.
Geram pula dia melihat Nik Akhil dan Siti Syazanah yang membisu dari tadi.
“Dahlah. Malas saya nak layan kamu berdua. Selagi kamu berdua tidak berbaik, jangan dekati kami. Selesaikan urusan kamu berdua dulu, baru kita bincang strategi untuk selesaikan tugasan ni. Jangan berlama sangat pula. Kami tak boleh tunggu kamu berdua lama-lama. Faham?” tegas Ismail Razak sambil memandang Nik Akhil dan Siti Syazanah selang-seli.
“Faham tak ni, Akil, Syaza?!” soalnya lagi apabila tidak mendapat balasan daripada dua orang di hadapannya itu.
“Faham,” Nik Akhil dan Siti Syazanah serentak menjawab.
“Bagus. Ingat! Jangan lama-lama,” pesan Ismail Razak.
Selepas mendapat anggukan kepala daripada mereka berdua, Ismail Razak beredar dari situ menuju ke rakan-rakannya yang lain.
“Kenapa tu, Raz?” soal Tengku Ehsan selepas mendengar tengkingan Ismail Razak tadi.
“Mereka berdua bergaduh. Saya suruh mereka berbaik dulu baru sertai kita,” balas Ismail Razak.
“Gaduh? Tak apa ke kita biarkan mereka berdua je? Nanti makin parah pula dengan sikap panas baran si Akil tu,” risau Shasya Edrina yang sedang mengusap makhluk aneh itu.
“Pandailah mereka berdua selesaikan masalah mereka tu. Jadi, macam mana dengan makhluk ni? Dia cedera tak selepas ditumbuk Akil tadi?” Ismail Razak menukar topik mereka.
“Tak cedera pun. Mungkin dia terkejut dengan tindakan Akil tadi,” balas Nur Halimah yang sedang mengusap wajah makhluk aneh yang ditumbuk Nik Akhil tadi.
“Alhamdulillah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Nasib baik Ima cepat bertindak tadi. Kalau tak, arwah dah kita kena lenyek tadi,” lega Tengku Ehsan.
Merah muka Nur Halimah mendengar pujian jejaka itu ditambah pula dengan senyuman kacaknya itu.
“Saya nak minta maaf sebab marah awak tadi. Cuma, saya tidak suka dengan pergaduhan ni. Bila bergaduh, pasti ada kecederaan. Saya tak nak tengok sesiapa cedera, termasuklah awak. Saya nak minta maaf sebab selalu menyusahkan awak sehingga awak terlibat sama. Kita berbaik ye?” lembut suara Siti Syazanah untuk memujuk Nik Akhil sambil memandang wajah jejaka di hadapannya itu.
Nik Akhil mengeluh sebelum mengalihkan pandangannya pada wajah cantik gadis itu. Lemah imannya mendengar suara lembut memujuk itu.
“Bukan salah awak pun. Saya pun nak minta maaf juga sebab tengking awak tadi,” balas Nik Akhil.
Tersenyum Siti Syazanah mendengar kata-kata itu.
“Nanti awak minta maaf pada makhluk tadi tu ye. Kesian dia sebab awak tumbuk dia. Mesti dia sakit tu,”
“Yelah yelah. Nanti saya minta maaf,” Nik Akhil mengalihkan pandangannya kerana tidak sanggup memandang gadis yang mengugatkan imannya itu.
“Yeay! Alhamdulillah. Jomlah kita ke sana. Lebih cepat kita selesaikan tugasan, lebih cepat kita balik semula ke bumi,” riang suara Siti Syazanah terus berlari ke arah rakan-rakannya yang lain.
Nik Akhil memandang gadis itu yang semakin menjauhinya.
“Saya harap saya dapat mendengar perkataan tu suatu hari nanti,” kata Nik Akhil bersendirian sebelum memulakan langkahnya ke arah rakan-rakannya yang lain.
Comments (0)
See all