Mereka berenam masuk ke dalam lubang pokok yang kini menjadi tempat kediaman mereka. Punggung dilabuhkan di atas kerusi kecuali Siti Syazanah yang termenung memandang dinding pokok itu.
Nik Akhil yang menyedari sikap aneh gadis itu turut memandang ke arah dinding tersebut. Dinding tersebut bercahaya sebesar kotak empat segi seperti suis lif.
“Syaza, jangan dekati dinding tu. Biar saya yang pergi,” tegas suara Nik Akhil.
Nik Akhil sudah berdiri mendekati gadis itu. Yang lain turut berdiri.
“Gempa bumi akan berlaku lagi ke kalau cahaya berkelip tu disentuh?” risau Shasya Edrina.
“Saya rasa cahaya itu memanggil Syaza untuk menyentuhnya. Tengok tu. Syaza seperti dipukau saja,” ujar Tengku Ehsan.
Mata mereka memandang Siti Syazanah yang tidak berkelip matanya memandang cahaya pada dinding itu. Nur Halimah sudah memeluk erat lengan Siti Syazanah supaya tidak mendekati cahaya tersebut.
“Saya akan sentuh cahaya ni. Baik korang bersedia untuk situasi gempa bumi nanti,” kata Nik Akhil yang sudah bersedia untuk menyentuh cahaya tersebut.
“Tunduk semua. Ed dan Ima pegang Syaza dengan kuat,” arah Ismail Razak.
Mereka akur dengan arahan jejaka itu. Selepas melihat rakan-rakannya duduk melutut di atas lantai pokok, Nik Akhil terus menyentuh cahaya tersebut.
Sempat dia duduk di atas lantai sebelum gegaran yang kuat berlaku. Masing-masing memejamkan mata mereka dengan erat. Selama seminit gegaran itu berlaku.
“Apa dah berlaku?” Siti Syazanah mula tersedar apabila gegaran itu berhenti.
Tubuhnya erat dipeluk oleh Nur Halimah dan Shasya Edrina. Apabila mendengar suara Siti Syazanah, yang lain turut membuka mata masing-masing.
“Apa dah berlaku tadi?” tertanya-tanya Shasya Edrina.
“Saya yakin kita sudah berpindah ke tempat lain. Rasa bahang tadi pun sudah hilang,” yakin Ismail Razak.
“Adakah tadi suis untuk berpindah tempat?” fikir Tengku Ehsan.
“Tapi, cahaya tadi sudah hilang. Saya rasa, selagi tugasan kita belum selesai, cahaya tu tidak akan muncul,” kata Nik Akhil.
“Kalau betul apa yang Akil katakana, bermaksud, kita sekarang berada di tempat lain dan ada tugasan baru menanti kita di luar sana,” bicara Ismail Razak.
“Ima, kenapa ni?” pelik Shasya Edrina apabila Nur Halimah menggigil secara tiba-tiba.
“Saya dapat rasakan sesuatu akan berlaku pada kita. Perlu ke kita keluar dari pokok ni?” risau Nur Halimah.
Matanya sayu memandang wajah jejaka-jejaka di hadapannya.
“Ima, itulah tujuan utama kita dipanggil ke alam aneh ni. Kita ditugaskan untuk membantu hidupan di sini. Kalau kita tidak buat macam tu, macam mana kita nak kembali ke alam kita semula?” bidas Tengku Ehsan.
“Sabar, Izan. Baiklah. Kita buat macam ni. Saya cadangnya, biar kami bertiga sahaja keluar dan menyiasat tugasan yang perlu kita selesaikan. Syaza, Ima dan Ed duduk di dalam ni, boleh?” bersuara Ismail Razak.
“Saya tak pasti sama ada betul atau pun tidak tindakan ni. Tapi, saya nak korang terus kembali ke sini selepas selesai mencari tugasan tu. Sebab Mila pernah kata bahawa ‘enam kepala lebih baik daripada satu, dua, tiga, empat dan lima kepala’. Saya pasti dia menyuruh kita berenam sama-sama memikirkan jalan penyelesaian untuk semua tugasan,” kata Siti Syazanah.
“Korang akan berjanji takkan selesaikan tugasan tu, kan?” garang suara Shasya Edrina sambil mengecilkan matanya memandang ketiga-tiga jejaka itu.
“Ye, kami janji,” dengan malas Tengku Ehsan menjawab pertanyaan gadis itu.
“Korang berehat di sini dulu. Kami pergi dulu ye,” pinta Ismail Razak.
“Hati-hati!” serentak ketiga-tiga gadis itu.
Selepas kelibat sang jejaka menghilang, mereka mula mendiamkan diri.
“Tak apa ke kita tak sertai mereka sekali?” bersuara Shasya Edrina.
“Entah. Ima, awak ok tak ni? Nak baring tak?” soal Siti Syazanah.
“Tak apa. Maafkan Ima. Disebabkan saya, Syaza dan Ed terpaksa menemani Ima di sini,” sedih suara Nur Halimah.
“Tak apa. Kesihatan Ima lagi penting. Ed nak masak air dulu jap,” lalu Shasya Edrina berjalan ke tempat yang disediakan untuk memasak.
Dia menghidupkan api menggunakan dua biji batu yang berada di situ. Ajaibnya batu tu. Sekali gores terus hidup api pada dahan yang terdapat di situ.
Periuk disangkutkan pada penyangkut yang berada di atas api sebelum botol mineral yang berisi air sungai dimasukkan ke dalam periuk tersebut.
“Pandainya Ed guna alat-alat tradisional ni,” kagum Siti Syazanah.
“Alaa…perkara kecil je,” bangga Shasya Edrina kerana dipuji.
“Err…korang. Lepas air siap masak, jom kita keluar, nak?” lembut suara Nur Halimah mengajak mereka.
“Hah?” terkejut kedua-dua gadis itu.
*****
“Banyaknya bunga di tempat ni. Musim bunga ke?” kagum Ismail Razak sambil melihat sekelilingnya.
Kawasan tersebut dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni. Pokok-pokok turut dihiasi dengan bunga yang mekar. Langkah Nik Akhil terhenti apabila dia ternampak sesuatu lembaga yang besar tidak jauh dari mereka.
Tidak sempat dia berjalan ke arah lembaga tersebut apabila terdengar suara cemas Tengku Ehsan.
“Raz, kenapa dengan kau ni?” cemas Tengku Ehsan sambil memangku Ismail Razak yang terbaring di atas tanah.
Nik Akhil terus mendekati rakan-rakannya itu.
“Apa dah terjadi ni, Izan? Kenapa dengan Raz?” soal Nik Akhil.
“Tak tahulah kenapa. Selepas dia dekati cendawan yang berbentuk hati tu, dia terus pengsan,” cerita Tengku Ehsan sambil menunding jarinya pada cendawan berbentuk hati berdekatan dengan sebuah pokok.
“Mungkin cendawan tu beracun. Jom kita balik semula ke lubang pokok tu. Biar saya yang gendongnya,” Tengku Ehsan hanya akur arahan Nik Akhil itu.
Nik Akhil menggendong tubuh Ismail Razak menuju ke lubang pokok.
“Argh!” terhenti langkah mereka apabila mendengar jeritan perempuan.
“Apa dah jadi? Bukan ke mereka berada di dalam pokok ni?” pelik Nik Akhil apabila matanya tertancap pada beberapa orang gadis yang tidak jauh dari tempat mereka.
“Izan, awak pergi tengok mereka dulu. Saya nak letakkan Raz jap,” lalu Tengku Ehsan berlari ke arah jeritan tersebut.
Selepas membaringkan Ismail Razak di atas lantai pokok, dia bergegas keluar dari situ.
“Kenapa ni?” tanya Tengku Ehsan dalam keadaan termengah-mengah.
“Kami pun tak tahu. Tiba-tiba saja Ima pengsan,” jawab Shasya Edrina yang sedang memangku Nur Halimah.
Kelihatan gadis itu tidak sedarkan dirinya.
“Adakah disebabkan oleh cendawan yang berbentuk hati?” terkejut mereka apabila mendengar suara garau itu.
“Macam mana awak tahu, Nik Akhil?” soal Siti Syazanah.
“Saya teka dah. Kejadian yang sama berlaku pada Raz tadi. Izan, awak dukung Ima pula masuk dalam pokok tu. Ed, awak temankan Izan,” arah Nik Akhil tanpa berbincang.
“Saya pula?” tanya Siti Syazanah.
“Awak ikut saya ke sana. Dah. Cepat bergerak!”
Tengku Ehsan segera menggendong Nur Halimah dengan bantuan Shasya Edrina. Mereka terus berjalan ke lubang pokok. Manakala, Nik Akhil dan Siti Syazanah berjalan ke arah bertentangan.
“Kita nak ke mana ni, Nik Akhil?” pelik gadis itu yang mengekori belakang Nik Akhil.
“Sebelum saya menjawab pertanyaan tu, kenapa korang keluar dari pokok tu? Bukan ke kami suruh korang duduk dalam tu diam-diam?” tegas suara Nik Akhil.
Matanya sudah memandang tajam ke arah gadis itu. Mereka berhenti berjalan.
“Ma..maafkan saya. Tapi, Ima yang nak keluar katanya. Takkan saya nak biarkan saja mereka pergi,” panjang muncung mulut gadis itu.
Nik Akhil mengeluh panjang sebelum menyambung perjalanannya.
“Tadi saya ada ternampak satu lembaga ni. Saya yakin dia ada kaitan dengan tempat pelik ni. Mungkin dia juga tahu macam mana nak sembuhkan Raz dan Ima,” kata Nik Akhil.
“Lembaga?” terbeliak mata Siti Syazanah.
Jantungnya mula mengepam dengan laju.
Comments (0)
See all