Siti Syazanah terjaga dari lenanya. Dia bangun dari pembaringan sambil melihat rakan-rakannya yang lain. Jaket pada tubuhnya ditanggalkan sebelum bangun mendekati Nik Akhil yang masih tidur.
Dengan berhati-hati, dia menyelimutkan tubuh jejaka itu menggunakan jaket tersebut. Kemudian, dia duduk semula di tempat pembaringannya. Buku nota dikeluarkan dari beg galasnya.
Dia bersandar pada dinding pokok sambil menulis sesuatu pada buku notanya. Senyuman terukir pada bibirnya semasa dia menulis.
“Dilamun cinta ke?” tersentaknya apabila mendengar suara lembut itu.
Pantas buku nota itu ditutupnya. Matanya terbeliak memandang gadis yang sedang tersenyum memandang ke arahnya.
“Da..dah bangun, Ima? Sejuk tak?” sengaja Siti Syazanah mengubah topik.
Buku nota itu diletakkan di dalam beg galas miliknya.
“Saya bergurau je, Syaza. Janganlah marah ye,” risau Nur Halimah sambil bangun mengemas tempat tidurnya.
“Eh? Mana ada saya marah awak, Ima,” laju kepala Siti Syazanah menggeleng untuk menidakkan kata-kata Nur Halimah.
“Comellah Syaza ni,” tergelak kecil Nur Halimah apabila melihat gelagat sahabatnya itu.
“Saya macam dengar suara gelak comel seseorang? Betul ke apa yang saya dengar ni?” terhinjut bahu mereka akibat suara yang serak basah itu.
Mata mereka teralih pada jejaka yang sedang meniarap menghadap mereka berdua. Pantas Nur Halimah mengalihkan pandangannya. Tangannya ligat menyambung mengemas tempat tidurnya. Merah padam mukanya ketika itu.
Tersenyum Siti Syazanah melihat pasangan tersebut. Suka benar Tengku Ehsan mengenakan gadis pemalu itu. Pada pandangan Tengku Ehsan, Nur Halimah nampak seksi dengan menyarungkan kemeja miliknya pada tubuh kecil gadis itu.
Pantas dia beristighfar apabila mengingati kata-kata Ismail Razak.
‘Jaga mata dan pandangan kita tau. Jaga juga iman dan nafsu kita apabila berdepan dengan kaum wanita. Bila terpandang tu, cepat-cepatlah alihkan mata tu. Bertambah dosa saja nanti. Pandang sekali dan sekilas dimaafkan. Jangan lebih-lebih pula,” ceramah Ismail Razak ketika sang jejaka bersendirian tanpa sang gadis.
*****
Selepas mereka berenam sudah bersedia, mereka pun keluar dari lubang pokok itu. Tergamam mereka apabila melihat kawasan tersebut dilitupi dengan salji yang tebal. Pokok-pokok turut dihiasi dengan putih salji.
Terasa sukar untuk berjalan di atas tanah yang dilitupi oleh salji tebal. Setengah jam berlalu. Mereka mula berhenti berjalan dan berlindung di bawah sebuah pokok berupa pokok Ru.
“Lama dah kita berjalan. Kenapa kita masih belum menemui penjaga di kawasan ni?” mengeluh Tengku Ehsan.
“Mungkin dia sedang menyorok?” teka Shasya Edrina.
“Agak-agaknya, makhluk gergasi apa pula ye kita akan jumpa,” fikir Nik Akhil.
“Korang!” lantang suara Ismail Razak dengan jarinya menunding ke arah hadapannya.
Terkejut mereka mendengar suara jejaka itu. Pandangan dialihkan pada arah yang ditunjuk oleh Ismail Razak. Terbeliak mata mereka apabila melihat lembaga berwarna putih sedang menghampiri mereka.
“A..apa tu?” menggigil ketakutan Nur Halimah.
Lengan Tengku Ehsan sudah ditariknya dengan erat. Begitu juga dengan Shasya Edrina yang sedang menyorok di belakang Ismail Razak. Nik Akhil pula berdiri di hadapan Siti Syazanah seperti sedang melindungi gadis itu daripada sesuatu.
Air liur mereka ditelan secara perlahan-lahan. Lembaga putih itu akhirnya tiba di hadapan mereka.
“Orang salji?” serentak mereka apabila melihat lembaga yang muncul di depan mereka itu.
“Macam ‘Olaf’ lah. Watak orang salji yang hidup dalam cerita ‘Frozen’. Cuma, orang salji ni lebih ‘bulat’,” ceria muka Shasya Edrina.
“Dia penjaga kawasan ni ke? Kenapa saiznya kecil?” tertanya-tanya Siti Syazanah.
“Biar saya yang tanya. Wahai orang salji, adakah kamu penjaga di kawasan ini?” soal Ismail Razak dengan penuh berhati-hati.
Pelik mereka apabila orang salji yang ralit senyum itu menundukkan kepalanya sedikit.
“Betullah dia penjaga di sini,” teruja Tengku Ehsan.
“Kalau begitu, apa yang boleh kami bantu kamu, wahai penjaga kawasan bersalji?” tertib bicara Ismail Razak.
“Perkenalkan diri kamu dulu, wahai manusia,” bersuara penjaga itu.
“Baiklah. Nama saya Raz, ini Akil dan dia pula Izan,” ujar Ismail Razak sambil memperkenalkan dirinya, Nik Akhil dan Tengku Ehsan.
“Saya pula Ed, ini Syaza dan itu pula Ima. Selamat berkenalan. Nama kamu siapa pula?” ceria suara Shasya Edrina ketika memperkenalkan dirinya, Siti Syazanah dan Nur Halimah.
Orang salji itu menggelengkan kepalanya.
“Boleh kalian memberi saya nama?” pinta orang salji itu.
“Boleh. Boleh sangat. Saya bagi nama kamu..,” pantas Tengku Ehsan memotong bicara Shasya Edrina.
“Jangan bagi Ed menamakan dia. Nanti apa pula nama yang diletaknya!”
“Bencilah. Kau ni dengki sangat kenapa hah?!” marah Shasya Edrina.
“Dah dah. Asyik bergaduh je korang berdua ni. Ed, awak nak bagi nama apa?” halang Ismail Razak.
“Raz?!” sedih mimik muka Tengku Ehsan apabila Ismail Razak tidak memihak padanya.
“Saya nak bagi nama, ‘Olaf’!” bersemangat Shasya Edrina.
“Nanti kita kena saman pula sebab guna nama tu,” kata Nik Akhil.
“Alaaa,” sedih muka Shasya Edrina.
“Yes!” gembira Tengku Ehsan apabila Nik Akhil memihaknya.
“Kalau begitu, kita bagi nama dia, ‘Coolaf’. Setuju?” cadang Siti Syazanah.
“Setuju!” cepat balasan daripada Nik Akhil.
“Berat sebelah betul kau ni, Akil,” desis Tengku Ehsan apabila cadangan Siti Syazanah dipersetujui 100% oleh jejaka itu.
“Kenapa ‘Coolaf’, Syaza?” tanya Nur Halimah ingin tahu.
“Hehe. Saya gabungkan perkataan ‘Cool’ dengan ‘Olaf’. Maka, jadilah ‘Coolaf’,” jawab Siti Syazanah sambil tersenyum.
“Sedap nama tu. Ed setuju!” bersemangat Shasya Edrina.
Yang lain hanya membalas dengan anggukan.
“Jadi, tiada sesiapa yang membantah? Baiklah. Kami akan panggil kamu, ‘Coolaf’, boleh?” tanya Ismail Razak pada orang salji itu.
“’Coolaf’? Saya suka dengan nama tu. Bergaya sangat. Terima kasih,” ceria muka orang salji itu apabila mendapat nama baru.
“Baguslah kalau kamu menyukai nama tu, ‘Coolaf’. Jadi, ada apa-apa yang boleh bantu kamu, ‘Coolaf’?” Siti Syazanah.
“Emm..,” penjaga itu mula berfikir.
“Lama ke kamu semua akan berada di sini?” soal ‘Coolaf’.
“Maaf, ‘Coolaf’. Kami tidak boleh lama di sini memandangkan kami bukan berasal dari sini,” balas Nur Halimah.
Shasya Edrina merenung orang salji itu. Dia pelik kerana dia seperti dapat memahami perasaan dan riak wajah yang ditonjolkan oleh ‘Coolaf’ itu. Seperti berpura-pura senyum sedangkan hatinya sedang sedih.
“Baiklah. Kalau begitu, boleh kalian buatkan saya tangan? Tangan saya berasal dari ranting namun disebabkan saya terlanggar pokok tempoh hari, tangan saya tercabut dari badan saya,” ujar ‘Coolaf’.
“Baiklah kalau begitu. Kami akan bantu kamu, ‘Coolaf’. Jom kita cari ranting yang kuat, kawan-kawan,” bersemangat Ismail Razak untuk menyelesaikan misi terakhir itu.
Tidak lama kemudian, mereka menemui ranting yang tebal dan agak kukuh untuk dijadikan tangan orang salji itu. Selepas mengucapkan selamat tinggal, mereka mula berpisah dengan penjaga di kawasan itu.
Semasa berjalan menuju ke rumah pokok, hati Shasya Edrina terasa sayu dan pilu ketika itu. Dia pun tidak pasti akan perasaan tersebut.
“Ed? Ed!” tinggi suara Siti Syazanah sehingga Shasya Edrina tersedar dari lamunannya.
Wajah dua orang gadis yang sedang memandangnya dilihat bersilih ganti.
“Kenapa Syaza, Ima?” soal Shasya Edrina dengan kening yang dirapatkan.
“Mereka dah hilang!” cemas suara Siti Syazanah kedengaran.
“Siapa yang hilang?” bingung Shasya Edrina.
“Izan, Akil dan Raz hilang, Ed! Bila kami pusing belakang tadi, mereka dah tak ada!” gelisah Nur Halimah.
Terbeliak mata Shasya Edrina. Terus dia melihat sekelilingnya. Tiada langsung jejak dan bayang sang jejaka. Malah, salji yang turun menyukarkan penglihatan untuk berfungsi dengan baik.
“Macam mana ni, Ed?” kedua-dua gadis itu sudah menangis sambil memegang erat lengan Shasya Edrina.
“Kita berpatah balik. Saya yakin yang ‘Coolaf’ mesti ada kaitan dengan kehilangan mereka,” serius wajah Shasya Edrina.
Comments (0)
See all