Akar menjalar keluar daripada tanah,melingkari kaki serigala itu dengan pantas sekali sebelum menariknya ke belakang semula.Serigala itu menggunakan kukunya bagi mencengkam tanah supaya tidak dapat ditarik akar itu.Dirinya sekali sekala akan menghempap tanah sebelum kembali bangkit melawan daya tarikan akar itu.Niatnya untuk menamatkan nyawa Kortris terbantut akibat diganggu perkara tersebut.
Kortris telah membuka matanya selepas lama tidak merasakan apa-apa.Serigala yang menyerangnya sebentar tadi sudah menjauh daripadanya seperti ditarik sesuatu.Matanya samar-samar melihat keadaan yang berlaku dihadapannya sekarang.
Aykel terus menikam badan serigala itu memberi tusukan yang dalam sebelum menariknya ke tepi bagi membesarkan lagi luka itu.Ia bergelut cuba menghalau Aykel supaya menjauh daripadanya dan ternyata ia berjaya selepas Aykel tercampak pergi sebelum bergolek ke tanah tidak beberapa jauh daripadanya.
Tidak membiarkan dirinya tercampak begitu sahaja,Aykel kembali menghapuskan jarak di antara mereka dan dengan pantas melibas pedangnnya menambah lagi luka pada badan serigala itu.Kadang-kadang serigala itu akan menyerang balasnya selepas berjaya mengelak serangan Aykel,tetapi nyata musuhnya itu sudah mampu membaca dan terus menghalang serangannya itu.Tetapi bukanlah kesemua serangannya dapat dibaca apabila Aykel telah tersilap langkah menyebabkan peluang yang terhidang digunakan dengan sebaiknya oleh serigala gergasi itu untuk menghantar serangannya.
Badannya kini punyai luka hasil daripada cakaran serigala itu membuatkan mantel dan bajunya terkoyak serentak menunjukkan kesan luka yang diterimanya.Cakaran itu meninggalkan kesan luka bermula daripada bahu kirinya hinggalah ke bahagian kanan bawah badannya.Lukanya itu tidaklah terlalu dalam kerana jarak yang dibina Aykel telah berjaya menyelamatkan nyawanya.
Darahnya mengalir keluar membasahi dirinya.Mulutnya yang sedang mengalirkan darah itu,kadang-kadang akan membatukkan darah kerana terasnya yang sudah melemah.Tetapi Aykel bukan seperti dirinya yang dahulu,dirinya sedang mengeluarkan serentak keempat-empat aura elemennya itu.Ianya sedang melingkari tubuhnya di luar dan adakalanya ia akan masuk ke dalam badannya sebelum keluar kembali.Sepertinya dia telah pun memahiri keempat-empat elemen tersebut dan telah berjaya menggaulinya bersama dirinya sehingga sebati.
Aykel kembali mengangkat senjatanya.
Serigala itu pula sudah memecut ke arahnya menghantar cakarannya sekali lagi,dan Aykel dengan cepat menghadangnya menggunakan pedang.Kukunya yang menyamai pedang panjang Kortris sudah jelas sedang mengatasi Aykel yang sedang tertolak ke belakang.Kaki kirinya menghantar cakaran yang seterusnya semasa Aykel sedang menghadang cakaran daripada kaki kanannya,serigala itu menggunakan teknik yang sama digunakannya semasa berhadapan Kortris.
Aykel menghalakan tangan kirinya bagi mengeluarkan elemen untuk melindungi dirinya,menyebabkan tangan kanannya yang sedang menghadang cakaran itu tertolak ke tepi.Dia tersilap langkah.Kini dirinya sedang berada di dalam situasi yang mengancam nyawanya.Hampir sahaja dirinya menjadi mangsa cakaran itu,tetapi Aykel lantas mengeluarkan kedua-dua belatinya bagi menghalang cakaran kaki kiri itu.Namun akibat kurangnya kekuatan yang dikeluarkannya menyebabkan dirinya tercampak ke arah kanan setelah berlaku impak yang kuat hasil pertemuan senjatanya dan cakaran serigala itu.
Pedangnya sudah tercampak jauh daripada dirinya menyebabkan dia terpaksa berlawan pada jarak yang dekat dengan serigala itu.Dipaksa dirinya itu bangun walaupun sudah kepenatan.Nafasnya naik dan turun dengan pantas.Dia sudah jelas kepenatan melihat kepada keadannya sekarang.Bajunya sudah terkoyak rabak menunjukkan badannya yang tidaklah terlalu sasa itu dan lukanya dengan jelas.
Kini,serigala itu sudah berada di hadapannya bersedia untuk menamatkan nyawanya sekali lagi,tetapi Aykel memecut dengan pantas sekali untuk melepasinya lantas menggerakkan angin yang tajam itu membentuk suatu garisan yang lurus.Tidak kedengaran bunyi belatinya menyerang tetapi beberapa saat selepas itu,serigala tersebut menjadi kaku.Aykel kembali bernafas dengan tenang selepas berjaya menyempurnakan serangannya.
Serigala itu kemudiannya terjatuh seperti tidak lagi stabil untuk berdiri di atas tanah.Matanya terbeliak kerana kini kaki kanan hadapannya telah dipotong Aykel menyebabkan dirinya menjadi terhenjut-henjut semasa hendak bangun kembali daripada terhempap dia atas tanah.Aykel pula sedang meletakkan telapak tangannya di atas tanah lalu memuntahkan darah yang banyak.Terasnya sudah benar-benar semakin lemah.Jika diteruskan lagi,mungkin dia akan mati kerananya.
“Celaka.”Aykel mengelap mulutnya yang dipenuhi darah itu.
Dia sudah berdiri selepas beberapa ketika mengambil nafasnya.Matanya menjadi tajam apabila memandang ke arah serigala itu yang sedang cuba untuk mendekati dirinya dengan keadaannya yang sekarang.
Tanah di situ bergegar.Lebih kuat daripada semasa serigala itu mendekati mereka pada awalnya.Gegaran itu menganggu keseimbangan serigala itu menyebabkan ia terjatuh tidak lagi mampu untuk bangun.Gegaran yang sepertinya akan menjatuhkan sesiapa yang berada di dalam radiusnya itu tidak memberi kesan kepada Aykel yang kekal berdiri dan tidak berganjak daripada tadi.Kedengaran bunyi di dalam tanah tempat mereka berpijak seperti sedang bergerak.Sangatlah kuat bunyinya seperti guruh yang berlaku di dalam muka bumi.Aykel kemudiannya menggerakkan tangannya ke atas.
Tanah itu pun bergegarlah dengan kuatnya dua kali ganda daripada sebelumnya.Tanah di dalam Aduinne tersebut sedang bergerak-gerak pergi ke pusat serangan yang ditetapkan Aykel.Serigala itu pula sudah mengalah daripada cubaannya untuk bangun kerana sedar akan lemahnya ia sekarang.Dan selepas itu naiklah tanah tinggi yang tajam bucunya di bawah tempat serigala itu lalu terus menusuknya sehinggalah menembusi hingga keluar daripada bahagian belakang badannya.Tanah itu terus menaik dan menaik sehinggalah Aykel menggenggamkan tanahnya,lalu berhentilah ia.Gegaran yang berlaku sebentar tadi pun telah mula menjadi tenang dan keadaan menjadi sunyi semula.Kedengaran suara serigala itu yang sedang berada di ambang kematiannya.Sayu dan perlahan berbeza dengan perwatakannya yang sebelum ini.
Tangan yang digenggam Aykel sebelum ini diturunkan lalu dinaikkan semula olehnya.Seiring dengan itu tanah yang menusuk serigala tadi bertukar menjadi debu yang berterbangan sebelum tanah tinggi lain yang muncul daripada bawahnya menusuk kembali serigala itu yang sedang terjatuh.Lukanya menjadi semakin dalam.Badannya juga mungkin sudah mempunyai lubang yang besar selepas Aykel melakukan perkara itu beberapa kali sebelum di mula membatukkan darah keluar daripada mulutnya.
Dia berhenti tetapi serigala itu pula masih dibiarkan tertusuk di sana menghayati saat-saat terakhir sebelum kematiannya yang menyeksakan.Suaranya seperti merayu untuk dibunuh,tidak lagi mampu menahan kesakitan yang dialami ia sekarang.
Aykel membaling belatinya menikam kepala serigala itu bagi menamatkan sengsaranya.Dia mengalihkan dirinya memandang ke arah Kortris sebelum muncul bayang yang mengambil kembali belatinya dan dimasukkan ke dalam sarungnya pada pinggang Aykel.
“Aykel,engka..”bicaranya terhenti apabila melihat mata Aykel yang berwarna hitam sepenuhnya.Kelihatan diri anak muridnya itu seperti tidak lagi bernyawa.Seakan-akan mayat hidup.
“Sungguh menarik badan budak ini.”Aykel membuka bicara sambil memegang badannya sendiri. “Sudah lama aku tidak berlawan makhluk-makhluk Arnakh seperti haiwan itu.Masih lemah seperti dahulu.Apakah Mekufer Illumo masih hidup?”Aykel bercakap dengan dirinya sendiri.
Kortris melihat organ dalaman serigala yang ditusuk itu perlahan-lahan terburai daripada perutnya dan ada yang dialirkan darah ke bawah.Beberapa organ dalamannya ada yang terkulai-kulai di luar perut serigala itu.Yang terjatuhnya pula menghempap tanah dan pecah disebabkan momentum yang diterima ia.Dia pasti bahawa Aykel tidak mampu melakukan pembunuhan seperti itu.Aykel juga menggunakan gaya serangan yang berbeza berbanding apa yang pernah diajarnya dan dilihatnya semasa budak itu berlatih seorang diri.
“Siapa engkau?”tanya Kortris yang sedar tentang perbezaan watak dan suara Aykel.Lengan kiri Aykel dapat dilihatnya jelas mempunyai kesan terbakar hasil daripada elemen api serigala yang menjadi lawannya tadi.
“Aku?...Bagaimana aku tidak boleh dikenali.?”Aykel melihat sekelilingnya. “Mungkin tempat asalku sudah musnah selepas peperangan terakhir itu.Kalau begitu melututlah di hadapanku,Lagenda Elfar…mungkin…Akulah Alfe..”Aykel terjatuh menghempap tanah dan tidak menyedarkan dirinya selepas itu.Badan Aykel dipenuhi luka dan mulutnya tidak berhenti mengeluarkan darah hasil daripada terasnya yang sudah lemah.
Kortris menghembuskan nafasnya,kepenatan.Pedangnya digunakan untuk membantu dirinya bangun.Menyeret kaki sebelah kirinya itu apabila sedang berjalan ke arah Aykel .Digagahkan juga dirinya yang sedang kesakitan itu untuk berjalan.
“Heh,cerita-cerita lama itu benar.”Kortris tersengih lalu mengangkat Aykel untuk keluar daripada hutan itu.
Di belakang mereka pula,serigala yang ditusuk Aykel sedikit demi sedikit bertukar menjadi asap hitam dan hilang di atmosfera.Darah pada tanah yang menaik ke atas itu kekal tetapi haiwan yang tertusuk itu sudah hilang daripada pandangan mata.
…..
Kortris yang sedang mengangkat Aykel yang tidak menyedarkan dirinya itu sedang disambut oleh orang ramai di luar Hutan Utara.Dirinya pun terkejut kerana tidak menyangka bahawa ada yang berani mendekati kawasan itu walaupun sudah mendengar beberapa bunyi yang tidak menenangkan sedang keluar daripadanya.
“Bersedia untuk dikenali Aykel.”Kortris berbicara perlahan
Comments (0)
See all