Sudah beberapa hari dirinya terperangkap di dalam Hutan Barat,masih lagi dia tidak dapat bertemu dengan rakannya yang lain.Berhari-hari juga dia berjalan di dalam labirin itu mencari mereka namun usahanya itu sia-sia sahaja.Bekalan makanannya pula masih lagi banyak tersimpan di dalam begnya itu,jadi dia tidak perlu risau lagi tentang mencari makanan di sini.Kadang-kadang,Fehru akan memikirkan cara untuk mengatasi labirin hutan ini.Apabila dia sedang berehat,mulalah mindanya itu menjana pelbagai idea demi idea yang boleh dicubanya.Idea sahaya tidak cukup sekiranya cubaannya itu sendiri gagal apabila dia mengaplikasikannya.Tetapi,dia masih lagi tidak berputus asa untuk terus menjana pelbagai rancangan yang baharu.
Adakalanya,Fehru akan memanjat pokok yang tinggi dan besar di situ bagi merasai udara segar dan melihat di mana dirinya sedang berada.Apabila berbuat begitu,dirinya dapat meneka lokasinya dan cara untuk mencari rakannya tetapi apabila dia turun kembali ke tanah,tempatnya seperti berbeza berbanding apa yang dilihatnya dari atas.Fehru keliru dan otaknya menjadi pening kerana terlalu banyak pertanyaan yang bermain di fikirannya tentang hutan ini,dia tidak dapat meneka bagaimanakah labirin di dalam hutan ini berfungsi.
Ranalay itu juga perasan bahawa sejak hari pertama dia terperangkap di sini,terdapat sepasang mata yang memerhatikan pergerakannya di situ tetapi tidaklah pula dia tahu dimanakah empunya badan tersebut.Firasatnya mengatakan bahawa mata itu datangnya daripada pokok tetapi mana mungkin perkara sebegitu boleh berlaku walau sepelik manapun situasinya sekarang ini.Pada mulanya,dia berasa tidak selesa akannya,lalu dia cuba mengabaikannya kerana mungkin ia adalah petunjuk buat dirinya itu sekarang ini.
Dia sedang berjalan di dalam labirin itu dengan langkahnya yang berhati-hati bagi mengelak akar-akar besar yang menjalar keluar.Keadaan di dalamnya ini terlalu sunyi dan kadang-kadang akan kedengaran bunyi haiwan di sekitarnya.Tidaklah pula muncul haiwan liar yang menyerangnya dan amat jaranglah juga dia dapat melihat waima seekor haiwan pun di sini.Malamnya pula terlalulah gelap,seperti matanya telah ditutup sesuatu kerana kurangnya cahaya yang dapat menembusi hutan itu.Buat masa ini,dirinya sedang fokus untuk mencari rakannya berbanding gua yang dikatakan oleh kumpulan yang dia ekori sebelum ini.
…..
Cahaya matahari sudah tidak lagi kelihatan menandakan hari sudah memasuki waktu malam.Cepat-cepat dia membuat tempat untuk menyalakan unggun api bagi mengharungi gelapnya malam.
Selalunya selepas perutnya diisi,dia akan membaringkan dirinya disebelah unggun api sehinggalah terlelap,namun malam ini dirinya tidak merancang untuk tidur.Dia perlu memastikan sesuatu yang sudah lama berlegar di dalam fikirannya.Tanda tanya yang tidak pasti kesahihannya namun mencuba sesuatu merupakan satu-satunya perkara pada saat ini.Untuk itu dia perlu berpura-pura kelihatan seperti tidur untuk membuktikan tekaannya itu.Rutin hariannya telah diperhatikan sesuatu sehingga hari ini,sudah tentulah dia berpura-pura untuk tidak menyedari kehadiran dan perginya empunya badan yang tidak diketahuinya ini.
Fehru sedang memejamkan matanya.Kehadiran sepasang mata itu masih dirasainya.Kehadirannya seperti sesuatu yang hangat berada berdekatan dirinya,dan jika dia fokuskan derianya untuk mengesan empunya badan itu,ianya akan menunjukkan ke arah semua pokok disekelilingnya.Jadi dirinya pada masa itu merasakan bahawa pokok di sini yang mengawal labirin itu tetapi dia tersedar yang akan ada pada masa tertentu di mana dirinya tidak merasakan lagi kehadiran sepasang mata itu.Jadi kemungkinan bahawa ianya manusia yang mengawalnya masih ada dan sebab itulah dia mencubanya pada saat ini.
Selepas beberapa ketika,Fehru mengukir senyuman di wajahnya.Tekannya benar,mata yang sentiasa memerhatikannya selama ini akan berhenti sepenuhnya pada waktu malam seperti dia pun seorang manusia yang memerlukan rehat.Fehru meneka bahawa mungkin orang yang sedang memerhatikannya itu mempunyai perkaitan dengan kumpulan yang sedang mereka siasat di sini.Jadi,dia perlu mencari gua yang ada di dalam Hutan Barat ini untuk membongkarkan kegiatan mereka.Tetapi sebelum itu,dia perlu mencari rakannya yang lain.
…..
Ada beberapa kesan calar dilengannya tetapi darahnya sudah pun kering.Bajunya kotor dalam tempoh masa itu kerana kakinya selalu tersadung akar pokok hutan di sini kerana terlalu fokus dengan keadaan sekelilingnya berbanding laluan yang sedang digunakannya sekarang.Nafasnya turun dan naik dengan laju kerana sudah kepenatan tetapi digagahkan dirinya berjalan walaupun perlahan.
Tiba-tiba dia terdengar sebuah suara yang berbicara dengannya.
“Ada pengembara yang terperangkap di dalam labirin buatanku ini.Mengapa seorang perempuan berseorangan di dalam hutan ini?Sungguh,ianya menarik minat aku.”suaranya diikuti dengan ketawa yang kuat seperti sedang mempersendakan Sera.
“Siapakah engkau?Tunjukkan diri….jangan bersembunyi disebalik bayang.”
Suara itu ketawa lagi dengan suaranya yang lebih kuat. “Mengapa perlu aku menunjukkan diriku kepada engkau?”
Sera memegang pemegang katarnya.
“Simpan sahaja senjata engkau itu,tiada gunanya kerana aku tidak berada berdekatan dengan engkau.”
Sera masih lagi memegangnya dan kali ini dengan genggaman yang lebih kuat bersedia untuk menarik katarnya pada bila-bila masa sahaja.
“Oh,baiklah jikalau begitu,engkau yang memilih kekasaran.Semoga kita berjumpa lagi….jikalau engkau masih hidup.”suara itu tidak lagi kedengaran.Selepas itu,bunyi-bunyi akar dan dahan yang bergerak pula didengari Sera.Bergeraknya ia sejurus selepas suara itu menghilang lalu menjalarlah keluar kesemua yang berdekatannya untuk meluru dengan pantas ke arah Sera,hendak menyerangnya.
.....
Kehra menarik keluar tombak kayu buatannya daripada badan arnab itu.Telinga arnab dipegangnya lalu diangkat pergi kembali ke arah tempat tinggal sementara yang dibuatnya semasa berada di dalam Hutan Barat ini.Dibuangnya kulit arnab itu dan kemudian dicucinya sebelum dipotong dadu dan dicucuk pada kayu untuk dibakar.Perutnya berbunyi semasa menunggu makanannya itu dimasak.
Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa di dalam situasi ini.Mahu sahaja dia pergi mencari gua yang menjadi tempat persembunyian kumpulan yang diekorinya namun labirin ini pun tidak mampu dia tewaskan apatah lagi hendak bertemu dengan rakannya.Membuatkan dirinya sakit hati sahaja apabila masih lagi terperangkap di dalamnya.Lagipun tanpa Fehru,dirinya sukar untuk membuat keputusan yang lebih bernas buat dirinya pada saat-saat yang genting ini.
Kayu itu dialihkan posisinya bagi memasak bahagian lain daging arnab itu.
Dia perlu mencari ahli kumpulannya secepat mungkin kerana dirinya yakin bahawa mereka sekarang ini sudah ditimpa bahaya.Dia pula hampir sahaja mengalah ingin meneruskan perjalanannya dan menunggu sahaja sehingga dirinya dijumpai Fehru ataupun Sera.Jikalau dia mencari rakannya yang sedang mencarinya itu,sudah tentu ianya di antara dijumpai ataupun menjumpai.Jadi,buat masa sekarang,dia hanya meninjau kawasan sekelilingnya,cuba untuk mencari keberadaan rakannya lain dan hanya menunggu di tempat tinggal sementaranya itu.Kehra merasakan lebih baik sekiranya dia membuat sedemikian.Setidak-tidaknya dia dapat mengurangkan kemungkinan dirinya akan terpisah dengan lebih jauh.
Dialihkan kayu itu ke bahagian lain pula.
Namun selepas dirinya sudah lama melakukan perkara itu,dia tidak mendapat apa-apa hasil.Sepertinya dirinya itu memang tidak akan dijumpai di dalam labirin ini.Dia perlu melakukan sesuatu.Sekurang-kurangnya dia harus meringankan sedikit beban rakannya yang lain.Kemudian,dia memilih untuk mencari gua tempat persembunyian kumpulan yang diekorinya semasa dia memasuki hutan ini.Walaupun dia tidak mengetahui laluannya,dia perlu juga untuk mencari jalannya ke sana dengan cara apa sekalipun.Dia tidak akan membiarkan dirinya terus dipermainkan labirin ini.Pada saat-saat sebegini,Kehra hanya mampu bergantung pada nasibnya juga kekuatan yang dimilikinya.
Ranalay itu menggigit daging arnab yang dimasaknya sebentar tadi dan terus mengunyahnya.
…..
Sera menghayunkan katar,memotong dahan dan akar yang menyerangnya.Dia bergerak dengan laju menggunakan elemen anginnya dan terus menyerang dan mempertahankan dirinya dengan pantas.Ada kalanya,serangan Sera itu tidak mengenai kayu atau dahan yang menyerang,namun elemen anginnya membolehkan hayunan katarnya sahaja dapat menghasilkan angin tajam yang memotong serangan akar dan dahan daripada pokok-pokok disekelilingnya.Dia mengelak beberapa serangan yang tidak mampu dihalangnya dengan sempurna sebelum kakinya tersadung pada akar pokok di situ menyebabkan dirinya terjatuh.
Dadanya turun dan naik kerana tercungap-cungap untuk bernafas.Sudah berjam-jam masa berlalu dan dirinya masih lagi berlawan dengan pokok besar disekelilingnya itu.Elemen tanahnya pula membolehkan dirinya menghasilkan batu tajam bagi dilepaskan dengan laju ke arah serangan yang diterimanya bagi menolak atau memotong terus akar dan kayu yang sedang menyerangnya.Ranalay itu jelas menunjukkan kehebatannya apabila berjaya mengawal kedua-dua elemen tanah dan udara secara serentak.
Kedua-dua katarnya disimpan kembali dan dia menarik keluar pedangnya yang bersaiz sederhana itu bagi menghadang serangan yang diterima dari jauh.Tangan kirinya pula dikelilingi elemen udara yang mencipta angin yang tajam setiap kali dia melibasnya bagi mematahkan serangan yang sedang menghampirinya.Serangannya perlahan sedikit berbanding semasa dia menggunakan katar,namun capaiannya menjadi semakin jauh menyebabkan terhasilnya jarak yang lebih ketara berbanding sebelumnya di antara dia dengan serangan yang sedang memnghampirinya itu.Situasi ini membolehkan Ranalay itu untuk bernafas dengan stabil sebentar supaya pertarungannya tidak diganggu.
“Sampai bila perlu aku berlawan sebegini.” Sera sudah tidak punya banyak tenaga untuk digunakannya.
Dia mengambil inisiatif untuk melindungi dirinya di dalam pelindung hemisfera dengan lantainya juga diperbuat daripada elemen tanahnya.Ini supaya akar pokok yang menyerangnya sebentar tadi tidak dapat menembusinya daripada bawah.Dia menghembuskan nafas lega kerana dapat berehat sebentar.Dia sememangnya penat dan amat memerlukan rehat tetapi serangan yang tidak pernah putus ini telah menghalangnya daripada melakukan sedemikian.
Kemudian,dia terdengar tawa yang seperti terhibur dengan sebuah pertunjukan.Kuat,datangnya daripada luar pelindungnya tetapi dia tidak merasa pula ada seseorang di sekelilingnya ini.
“Bagus,aku puji akalmu itu…namun sampai di sini sahaja permainan kita…membazirkan teras aku sahaja jika terlalu lama menghabiskan masa hanya untuk engkau.”
Tiada lagi serangan yang mengetuk pelindung hemisferanya itu selepas suara yang tidak dikenalinya berhenti berbicara.Keadaan yang tadinya penuh dengan akar yang menjalar keluar untuk menyerang dan dahan yang memanjang ingin memukulnya bertukar menjadi suasana yang tenang kembali.Dia menghembuskan nafasnya lega kerana ianya telah berakhir.Memanglah dia seorang Ranalay,tetapi jika sudah berjam-jam menggunakan tenaganya untuk melawan serangan yang tidak akan berhenti,siapa sahaja yang tidak akan merasa kepenatan?
Sera perasan bahawa dirinya diserang oleh pengawal elemen yang mampu menggunakannya dalam tempoh masa yang lama.Sesuatu yang amat sukar dan mampu mencederakan penggunanya jikalau tidak berpengalaman.Tetapi,musuhnya itu dapat menyerangnya tanpa rasa lemah pun yang tersembunyi di sebalik suaranya itu.Musuhnya di sini setaraf ataupun sudah melebihi kemampuan Ranalay yang lain termasuk dirinya.
Nafasnya kembali tenang.
“Bahaya,sangat bahaya.”
Kini,dia dapat merehatkan dirinya yang sedang kepenatan itu.Setelah lama dia mengharungi hutan ini sehinggakan berlawan dengan pokok-pokok yang bernyawa,dia dapat berlindung disebalik pelindung buatannya ini.Sera merasakan ruang di dalam pelindungnya itu sahaja yang selamat berbanding diluarnya.Dia sedang terbaring,penat lalu dengan perlahan matanya tertutup memisahkan dirinya daripada dunia nyata.
Comments (0)
See all