Keadaan panas dan tidak selesa memaksa Firash untuk membuka kelopak matanya yang masih berat. Dalam keadaan mamai dia bangun duduk di atas katil sambil memerhati keadaan sekeliling yang membuatkan matanya terus segar. "Huh?" tidak berkutik dia di situ.
Waktu seakan terhenti.
Dahinya semakin berkerut memerhati sekeliling bilik tidurnya. Ini biliknya, itu tiada masalah. Tetapi yang menjadi persoalan di sini... bila dia balik? Ingatan terakhirnya adalah di perpustakaan Tun Uda dan selebihnya hanyalah seperti kanvas kosong apabila dia cuba untuk mengingati kembali.
Perlahan dia memicit-micit dahi tetapi itu tidak lama apabila anak matanya menangkap pakaian yang membaluti dirinya membuatkan dia melompat turun daripada atas katilnya serta merta. Laju kakinya menghampiri almari cermin yang sedikit uzur terletak berhampiran pintu bilik.
Terus membuntang matanya melihatkan dirinya di dalam satu persalinan sut biru gelap lengkap. Tangannya terus mengigil ketakutan apabila dia merasakan pantulan di dalam cermin itu seakan sedang tersenyum sinis melihat dirinya. Gembira dengan ketakutan yang semakin menguasai dirinya.
“Qayyum...” menggeletar bibirnya menyebut nama itu.
Spontan dia jatuh terjelopok kerana kakinya tidak mampu untuk menampung badannya. Kosong pandangan matanya. Kuat dia mencengkam dada melawan perasaan itu kerana dia takut bila-bila masa sahaja Qayyum akan mengambil alih dirinya.
Makin berkerut dahinya untuk mengingati segala perkara yang dilakukan oleh Qayyum semalam. Tetapi seperti biasa, memory loss. Memori dan masanya telah diambil oleh Qayyum.
Apa... bila... di mana... dengan siapa dan segala tentang diri Qayyum langsung dia tidak tahu walaupun dia cuba lagi dan lagi untuk ‘memasuki’ ke dalam dunia Qayyum kerana setiap kali Qayyum mengambil alih dirinya pasti dia yang akan menanggung akibatnya.
Lama dia duduk berteleku lemah di situ sehinggalah ketukan pintu menyedarkan dia. “Firash... tak pergi kelas ke? Hari ni kita ada test.” Hakimi yang sudah bersiap-siap mendekatkan dirinya pada pintu bilik Firash apabila tiada jawapan yang diterima.
"Firash..."
“Ha? Aaa... kau pergilah dulu. Nanti aku pergi.” Balas Firash sambil matanya liar mencari keberadaan beg galasnya. Habis satu bilik disepahkan sehingga dia terpandang beg galas itu di bawah meja belajarnya.
“Kau jangan lambat pula. Kau tahu kan Sir Ezani tak suka student lambat masuk kelas dia.” Suara Hakimi semakin mengecil kerana dia sudah berada di luar rumah. Tombol pintu dikunci dengan cermat.
Pantas zip dibuka untuk melihat jika ada barang yang hilang. Semua ada termasuklah baju t-shirt, seluar jeans dan selipar yang dipakainya semalam elok dibungkus di dalam plastik.
Dia menghela nafas lega.
Mendengarkan pintu utama rumah sudah dikunci.
Firash mencapai kain tualanya di belakang pintu. Ada lagi 15 minit sebelum kelas bermula. Mujurlah dia sempat mengulangkaji topik yang akan ditanya di dalam test nanti.
Sempat dia membelek sut biru itu lagi. Dia perlu memulangkan semula sut itu. Pasti mahal harganya.
Nafas dihelakan perlahan sebelum dia tergesa-gesa dia menuju ke arah bilik air dengan bunyi...
PANGGGGG!!!!
Penampar sulung Datin Rosha hinggap pada pipi gebu anak bongsunya yang masih tersedu-sedan menangis melutut dan merayu di kakinya. “Kau berambus sekarang... keluar dari rumah ni! Kau dah bukan anak aku lagi! Berambus!” Jeritan nyaring Datin Rosha memenuhi ruang tamu mewah rumah agam itu.
Mencerlung dia memandang ke arah anak bongsunya yang sudah menconteng arang ke mukanya. Dia menarik semula kakinya tanda jijik melihat anak perempuannya itu.
“Maafkan Mina mami... maafkan Mina... Mina janji tak buat lagi. Tolong Mina mami... papa! Mina minta maaf... Tolong jangan halau Mina... tolong jangan halau Mina... Mina tahu Mina salah... tolong pa... Mina janji tak buat lagi... Mina janji tak buat lagi...” Kali ini dia sudah merangkak memeluk kaki papa tirinya itu memohon simpati agar dirinya diberi belas kasihan.
Dia yang ditangkap oleh JAIS bersama pasangan one night stand semalam telah menghiasi portal-portal gossip dan hiburan tanah air. Apatah lagi dirinya ialah seorang influencer membuatkan berita itu telah tersebar dengan sangat cepat pada zaman viral ini.
Saiful menenangkan maminya yang sudah melabuhkan punggungnya di atas sofa buatan dari Itali itu sambil memegang kepalanya yang terasa ingin pitam itu. Dia juga turut sakit kepala membaca berita itu. Manakala Tan Sri Hamid hanya membatukan diri di atas kerusi rodanya melihat drama air mata di situ. Datuk Khalid memicit-micit kepalanya melihat gambar-gambar mengaibkan anak tirinya itu di dalam salah satu portal hiburan tanahair.
Sejujurnya dia cuba untuk menghentikan berita itu daripada tersebar dengan lebih meluas tetapi sepertinya ada ‘seseorang’ di belakang mereka semua sehinggakan rasuah yang dia cuba berikan dipandang sepi oleh pihak media.
Dia memandang ke arah Tengku Adila yang sedang tekun menonton televisyen tanpa mempunyai tanda-tanda ingin mencelah di situ.
“Kau fikir tak macam mana mami dengan papa nak berdepan dengan orang lepas ni Mina? Ha? Ada kau fikir? Mana mami nak letak muka mami ni? Mami malu!” Datin Rosha melampiaskan kemarahannya untuk sekian kali dengan nafas tercungap-cungap.
Sementara Mina masih duduk melutut di atas lantai meraung agar dirinya dimaafkan. “Papa... tolong Mina pa... please do something pa... imej Mina dah tercalar pa... imej Mina dah tercalar...” Raungan lagi. Hancur sudah imej ‘gadis suci’ yang dibawanya di dalam media sosial. Semuanya meninggalkan komen yang kurang menyenangkan sehingga memaksanya untuk menutup ruangan komen media sosialnya.
"Wow... jadi kau meraung macam nak terkeluar anak tekak ni sebab imej kau dah tercalar? Bukan sebab kau dah insaf? Interesting... very interesting...” sampuk Tengku Adila sambil menepuk tangan bersama senyuman sinis memandang ke arah Saiful.
“Kau jangan nak sibuk...” nyaring tempikan Mina tenggelam timbul apabila Tengku Adila langsung tidak mendengar apa yang diperkatakan. Terkebil-kebil dia di situ...
“Zaf mesti dah lapar. Dila dah janji semalam nak bawakkan makanan untuk dia. Tok Wan naiklah dulu. Nanti Dila suruh Kak Atie bawakkan makanan naik atas. Tok Wan boleh makan sendiri kan?” Tan Sri Hamid mengangguk dan bersiap-siap untuk meninggalkan ruang tamu itu apabila Mina sekali lagi menjerit nyaring.
“Kau nak kemana perempuan sial? Aku tak habis cakap lagi ni...” Tetapi pantas mulutnya terkunci apabila Tan Sri Hamid menjeling ke arahnya membuatkan Tengku Adila tersenyum kemenangan. Cucu kesayangan Tok Wan kan... kau sapa?
Dia berpaling kembali menuju ke arah ruangan dapur sambil mengutuk Tengku Zafuan yang kini terlantar di hospital atas alasan kakinya masih sakit dipukul kayu besbol olehnya.
Saiful hanya mampu mengetap bibirnya menahan kemarahan yang semakin meluap-luap menguasai jiwanya. Dendam kesumat yang sekian lama bersarang di dalam dirinya kini meronta-ronta minta untuk dilepaskan.
Tengku Zafuan menolak perlahan bekas makanan yang sudah kosong ke arah Sab yang sedang lincah memasukkan kembali bekas makanan yang lain ke dalam beg tote yang dijinjitnya.
Sejurus itu dia meminta diri atas arahan Tengku Adila.
Masam mencuka wajah Tengku Zafuan apabila Tengku Adila masih lagi berada di situ. “Kau nak apa?” Mendatar sahaja suaranya.
Tengku Adila tersenyum dan berjalan ke sisi katil sepupunya itu dan meletakkan telapak tangan di atas kepala Tengku Zafuan.
“Don’t overdo yourself.” Perlahan dia mengusapnya tetapi ditepis dengan kasar.
Tengku Zafuan memberi jelingan maut sambil berkata, “apa kau tahu?” dia memalingkan mukanya ke arah lain membuatkan Tengku Adila teringat akan saat mereka sewaktu kecil. Sepupunya itu masih budak kecil pada pandangan matanya.
Sejak dari dulu lagi love and hate relationship sudah sebati di dalam diri mereka berdua. Tengku Adila mengambil beg tangannya dan berlalu ke arah pintu untuk memberi ruang kepada sepupunya itu untuk menenangkan diri. Tengku Zafuan akan sejuk dengan sendiri.
Keluar sahaja lif, Tengku Adila tersentak apabila dirinya dilanggar membuatkan dia berpusing 360 darjah untuk melihat orangnya.
"Saya minta maaf cik. Saya tak sengaja. Betul-betul tak sengaja." lelaki yang sedang menundukkan kepalanya itu kedengaran panik. Terus terhenti Tengku Adila untuk bertukar menjadi harimau betina melihatkan pemuda itu bersungguh-sungguh meminta maaf.
Mesti dia nak cepat hantar makanan ni. Telah hatinya melihatkan pemuda itu menjinjit makanan dengan memakai baju penghantar makanan.
Baru dia ingin membuka mulut...
"Firash..." Terus tidak berkelip mata Tengku Adila sebaik sahaja pemuda itu mengangkat wajahnya membuatkan mata mereka bertentangan.
Hensemnya mamat ni. Jerit hatinya. Terkedu dia di situ.
"Lama kamu tak datang jumpa abang. Rindu abang lah tu." Seorang doktor muda yang memanggil Firash sebentar tadi berjalan menghampiri mereka.
Tengku Adila mengalihkan pandangan matanya dan meminta diri dari situ sementelah doktor muda itu mendapatkan Firash.
Sempat doktor muda yang dipanggil Abang Khai oleh Firash itu menjongketkan keningnya sambil menjuihkan bibirnya bertanyakan siapa gerangan wanita jelita yang sedang berjalan pergi itu kerana wajah itu biasa dilihat. Firash hanya membalas dengan senyuman sambil menghulurkan beg plastik yang dijinjitnya kepada Abang Khai.
"Ayam kunyit?"
"3 budak gemuk." Teruja Abang Khai mendengarnya dan terus menarik Firash menuju ke kafeteria.
Sekilas Firash melihat Tengku Adila yang sedang masuk ke dalam perut kereta mewah.
Cantik. Bisik hati kecilnya. Tetapi mengenangkan kereta mewah yang sedang berlalu pergi itu dia mematikan khayalannya.
Mereka berdua beranggapan pertemuan secara kebetulan itu adalah pertama dan terakhir.
Akan tetapi, takdir yang tertulis untuk mereka berkata sebaliknya...
Comments (0)
See all