"Betul Firash. Kau percayalah cakap aku. Itulah satu-satunya perempuan paling cantik yang pernah aku jumpa." Bersungguh-sungguh Hakimi bercerita menyakinkan sahabatnya itu.
Pisang goreng dikunyah dengan penuh berselera. Dikenakan pula dengan kopi o panas, memang menjadi pembuka selera.
Firash mencebik sambil berjalan menuju ke arah pangkin untuk melabuhkan punggungnya bagi melepas Lelah. Senang hatinya melihat laman rumah sudah bersih. Cakar sampah diletakkan di sisi.
Pejam celik… pejam celik… cuti semester hampir berakhir. Terasa berat hatinya untuknya balik ke ibu kota sementelah kesihatan Atok dan Opahnya yang kian uzur. Tetapi pejuangannya dalam menuntut ilmu masih belum selesai.
Besar impiannya untuk menghadiahkan segulung ijazah kepada Atok dan Opah yang telah bersusah payah membesarkannya seperti cucu kandung mereka sendiri.
"Kau dari pagi bawak ke petang sampai dah nak dekat maghrib... perempuan tu... perempuan tu... siapa perempuan tu?" Tanya Firash hilang sabar. Teh o panas dihirup menunggu penjelasan daripada Hakimi.
Pagi tadi elok sahaja sahabatnya itu keluar pergi membeli nasi lemak bersama roti canai untuk sarapan pagi mereka sekeluarga. Tahu-tahu balik jadi angau. Takut...
"Itulah yang tak tahu. Ni first time aku nampak dia. Nanti aku nak tanya Opah. Mana tahu Opah tahu anak siapa. Boleh aku terus masuk meminang." Balas Hakimi tersipu malu. "Aduh..." bahunya yang ditumbuk oleh Firash digosok perlahan.
"Itu makan dia... habiskan belajar dulu. Kerja elok-elok baru fikir kahwin. Kalau tak kau nak bagi anak dara orang makan apa? Makan pasir? Lain lah kalau kita ni anak orang kaya." Bebel Firash. Keropok lekor panas ditiup sebelum disuakan ke dalam mulutnya.
Hakimi memuncungkan bibirnya sambil mengomel. "Tapi aku memang anak orang kaya." Mukanya dimasamkan tanda protes.
Firash hanya membuat pekak. Kali ni pisang goreng pula dicapainya. Sungguh dia lapar.
Tenang mereka berdua mengisi perut sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di kala senja hampir melabuhkan tirainya. Aman dan damai jauh dari kesesakan kota raya.
"Kamu berdua..."
"Ye Atok." Jawab mereka serentak sambil berpaling ke arah muka pintu.
Pak Ghani berjalan mendekati cucunya sambil memakai kopiah. "Ni Atok nak ke surau. Nanti kamu berdua lepas solat maghrib terus pergi rumah Pak Mail. Opah kamu suruh makan malam dekat sana je. Hari ni dia tak masak." Ujar Pak Ghani menyampaikan pesan isterinya itu.
Mereka berdua mengangguk akur sambil melihat motorsikal yang ditunggang oleh Atok mereka hilang dari pandangan.
"Jom lah kita kemas. Aku dah kebulur kau tau tak." Omel Hakimi walaupun dia sudah membantai sepinggan pisang goreng bersama keropok lekor panas. Dia nak nasi! Nasi… nasi… dan nasi! Tekak dia tekak Melayu!
Laju tangannya meletakkan kembali pinggan dan gelas yang mereka gunakan ke dalam dulang untuk dibawa masuk dan dicuci. "Oh, by the way... nak kahwin dah ye Syafiqah tu." Hakimi memandang ke arah Firash yang sedang meneliti telefon pintarnya.
"Jadi? Apa kena mengena dengan aku?" Soal Firash sambil mengangkat keningnya apabila melihat Hakimi memandangnya semacam.
"Tak adalah. Aku cuma cakap je. Sebab Syafiqah tu kan... pernah tangkap cintan dengan kau dulu. Opps, sorry." Cepat-cepat Hakimi menutup mulutnya sebelum menyambung. Dia mendekat sedikit dirinya pada Firash dan berbisik. "Dengan Qayyum." Tawanya sedari tadi makin menghilang melihatkan Firash masih tidak berkelip memandangnya.
"Chill lah. Aku gurau je. Qayyum kan dah tak ada dalam diri kau. Kau takut dia muncul balik ke kalau aku sebut nama dia? Kau jangan risau. Abang Khai cakap Qayyum dah tak akan muncul lagi." Hakimi menenangkan sahabatnya itu. Bahu Firash ditepuk lembut. Dulang diangkat dan dia mula melangkah menuju ke pintu masuk rumah sambil bersiul senang hati.
"Is that so?"
"Eh?" Hakimi menoleh penuh tanda tanya.
Perlahan Firash bangun dari pangkin itu dan berjalan ke arah sahabatnya. "Aku tanya, is that so? Yang Qayyum takkan muncul lagi? Kau yakin?" Senyum sinis mula terukir di wajahnya.
"Fi... Firash... ca... ca cara kau cakap macam... macam... Qayyum..." Muka Hakimi sudah pucat lesi. Dia mengambil beberapa langkah ke belakang apabila Firash semakin mendekat dengannya.
"Mungkin aku yang didepan kau ni sekarang bukan Firash. Mungkin aku ialah Qayyum. Jadi macam mana kau boleh yakin?" Soal Firash lagi. Tajam pandangan matanya.
"A... a... a… aku..." Tergagap-gagap Hakimi bertutur. Peluh sudah merecik di dahinya. Riak wajahnya jelas dalam ketakutan.
Akhirnya terletus gelak kuat dari Firash. "Kau tengoklah muka kau Kimi... Hahahahah... Hahaha..." Firash menekan sedikit perutnya yang senak kerana ketawa yang berterusan.
Menyedari dirinya sedang dipermainkan, Hakimi spontan menghempuk kepala Firash menggunakan dulang di tangannya.
Firash mengaduh kuat.
"Lain kali jangan memain macam tu eh. Aku hempuk lagi kuat nanti." Ugut Hakimi sambil mengangkat kembali dulang. Mencerlung matanya memandang sahabatnya itu tanda amaran.
Firash mengangkat tangan tanda menyerah bersama ketawa yang masih bersisa.
Perkarangan rumah Pak Mail tidak henti-henti menerima kunjungan daripada saudara mara dan para tetamu jemputan bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran itu. Ditambah lagi dengan bunyi muzik yang dimainkan oleh DJ jemputan menjadikan suasana bertambah meriah.
“Firash… lauk lagi. Gulai kawah dah habis.” Laung Abang Mat dari bawah khemah. Dia turut bergegas menuju ke khemah yang lain untuk memastikan lauk hidangan untuk para tetamu jemputan mencukupi.
Firash mengangkat tangannya dan bergegas mencedok gulai kawah lalu dimasukkan ke dalam baldi kecil. Cermat dia menuangkan gulai kawah itu di dalam bekas yang disediakan.
Peluh yang merecik di dahinya dilap menggunakan tuala yang disangkut pada bahu. Terlihat Hakimi juga dengan sibuk menambah air minuman.
“Atok kamu mana Firash?” tanya Mak Senah. Dia yang baru sahaja selesai memasak ayam masak merah itu mendapatkan cucunya.
“Tadi Firash nampak dengan Pak Mail, Opah.” Ujarnya sambil memerhati sekeliling mencari kelibat Atoknya itu.
“Tak apa lah. Kamu rehat dulu. Ini baru sikit orang datang. Lepas zohor nanti tengoklah macam mana. Opah dengar dekat 10 ribu orang Pak Mail jemput.” Beritahu Mak Senah membuatkan Hakimi yang baru tiba terjerit kecil.
“10 ribu orang? Biar betul Opah.” Ternganga mulutnya.
“Tak kan sampai 10 ribu orang Opah.” Firash menenangkan keadaan. Dia jugak turut terkejut. Sekarang ni pun nyawanya masih tidak lepas lagi. Belum pengantin lelaki tiba lagi sudah beberapa kali dia menambah lauk.
“Cucu dia tu kahwin dengan anak orang kaya kalau kamu nak tahu. Tambah lagi Pak Mail tu pernah jadi ketua kampung kita ni dulu. Mestilah dia banyak kenalan. Opah dengar lagi kan lepas ni mereka nak buat pulak majlis dekat hotel di Kolumpo sana tu.” Mak Senah mula bergosip dengan cucunya.
“Kenapa tak terus buat dekat Kolumpo je kalau macam tu Opah. Ambil catering. Settle.” Balas Hakimi sambil memuncungkan bibirnya. Jelas wajahnya kepenatan sementelah daripada semalam lagi mereka turut serta membantu untuk melancarkan majlis perkahwinan itu pada hari ini.
“Pak Mail kamu yang minta nak adakan dekat rumah. Tambahan lagi Syafiqah tu kan cucu perempuan sulung dia. Kalau tak yang Opah dengar memang keluarga belah pihak lelaki nak adakan dekat Kolumpo sana saja. Eh dah lah, cakap dengan kamu ni nanti kerja Opah tak siap. Kamu ada masa rehat kamu rehat dulu. Kejap lagi dah masuk waktu solat kamu terus solat ya.” Pesan Mak Senah. Dia bergegas masuk ke dapur.
Hakimi melabuhkan punggungnya di atas kerusi plastik sambil berpeluk tubuh.
“Kau kenapa?” Berkerut dahi Firash melihat muka Hakimi yang masam semacam.
“Apoo 10 ribu orang. Sikit-sikit dah lah. Aku dari semalam lagi tak tidur. Tengok badan pun dah bau daging tau tak dari semalam potong daging.” Adu Hakimi sambil menghidu baunya sendiri.
Firash hanya tersenyum sinis sambil kereta yang keluar masuk di dalam perkarangan laman rumah itu. Kakinya yang lenguh diurut perlahan.
“Kau kenapa tengok aku macam tu Kimi?” tanya Firash apabila merasakan Hakimi tidak berkelip memandang dirinya.
“Aku bukan apa. Aku tengok kau sejak dua ke tiga hari ni lain sikit.” Ujar Hakim risau. “Sorry lah kalau hari tu aku sebut pasal Qayyum.”
Firash hanya tersenyum. “Tak ada apa lah kau ni. Kau je yang fikir bukan-bukan.” Usai Firash berkata begitu azan zohor mula berkumandang daripada surau berdekatan. Baru sahaja mereka ingin bangun untuk menunaikan solat zohor, Abang Mat memanggil Firash dari bawah khemah.
“Kau pergi solat dulu Kimi. Nanti aku pergi.” Hakimi mengangguk dan menuju ke arah tempat solat yang disediakan.
Comments (0)
See all