Suasana café petang itu tenang seperti biasa. Bau kopi baru dikisar memenuhi ruang, lagu perlahan dari radio lama bergema lembut di sudut. Winter sedang menyusun cawan di rak sambil sesekali mencuri pandang ke arah pintu — menunggu seseorang yang dia tahu akan datang seperti selalu.
Dan ya, pintu terbuka perlahan. Loceng kecil berbunyi.
Autumn melangkah masuk dengan senyuman tipis di wajah, rambutnya sedikit beralun ditiup angin luar.
“Awal hari ni,” tegur Winter, senyum kecilnya terukir tanpa sedar.
Autumn sekadar ketawa perlahan. “Hari ni kelas habis cepat.”
Mereka berbual seperti biasa — tentang kopi, tentang langit yang mula mendung, tentang hal kecil yang hanya mereka faham. Semua terasa ringan, seolah dunia luar tak wujud.
Namun keheningan itu pecah tiba-tiba.
Pintu café terbuka sekali lagi, dan suara loceng itu bergema sedikit lebih kuat kali ini.
Seorang lelaki berpakaian kemas melangkah masuk. Jas gelap, jam tangan mahal, aura yang tegas tapi tenang.
Autumn terpaku.
Ayah?
Langkahnya terhenti di tempat berdiri. Wajahnya berubah pucat. Winter yang sedang mengelap meja turut menoleh — sedikit terpinga.
Lelaki itu mengamati sekeliling, sebelum pandangannya jatuh tepat ke arah anak gadisnya.
“Autumn?”
Autumn tersentak kecil, cepat-cepat bergerak ke arah ayahnya.
“—Ayah buat apa kat sini?” suaranya perlahan tapi panik.
Ayahnya sempat menjawab dengan nada tenang, “Hari ni jadual ayah untuk lawatan pemeriksaan. Café ni salah satu cawangan syarikat ayah, kenapa?”
Autumn terdiam. Dadanya terasa bergetar.
Dia tahu café ni memang milik syarikat keluarganya, tapi tak sangka… hari ini ayahnya sendiri yang akan turun padang.
Winter hanya berdiri di belakang kaunter, masih cuba memahami situasi. Dia tak tahu lelaki itu siapa, tapi aura dan cara mereka berdua berbicara cukup untuk buat dia rasa — ada sesuatu yang disembunyikan di sebalik pandangan itu.
“Jom keluar kejap, ayah,” kata Autumn tiba-tiba.
Dia menarik lembut tangan ayahnya menjauhi pandangan orang lain.
Winter sempat memandang ke arah mereka — rasa pelik dan ingin tahu bersatu dalam dadanya.
Autumn jarang begini… kenapa dia nampak terlalu cemas hari ini?
Di luar, angin petang berhembus perlahan.
Autumn menarik nafas dalam, cuba mencari ayat. “Ayah tak perlu turun sendiri… saya tak tahu ayah akan datang.”
Ayahnya tersenyum nipis. “Kenapa? Tak boleh ke ayah datang tengok tempat kerja orang?”
Autumn menunduk. Dia tak mampu jawab.
Di hatinya, ada satu rasa yang makin kuat — takut. Takut kalau ayahnya tahu, orang yang selalu dia temui di café ini bukan sekadar barista biasa, tapi… anak kepada kawan lama ayahnya sendiri.
Dan di sebalik pintu café itu, Winter masih memerhati dari jauh.
Dia tak tahu kenapa, tapi hatinya rasa tak sedap — seperti sesuatu sedang berubah tanpa dia sempat faham apa sebenarnya yang berlaku.
Langit petang bertukar kelabu.
Dan di antara aroma kopi dan hembusan angin, satu rahsia mula retak perlahan-lahan.
Dia sempurna di mata semua orang, tapi menyembunyikan seribu beban.
Dia punya segalanya, tapi mencari erti sederhana.
Dan bila dua musim bertemu — segalanya berubah.