Sejak malam itu, suasana antara mereka berubah perlahan-lahan. Bukan dingin, tapi… ada ruang kosong yang tiba-tiba wujud di tengah-tengah setiap perbualan.
Autumn masih datang ke café seperti biasa, tapi setiap kali Winter menyapa, senyumannya nampak lebih berhati-hati. Tidak lagi selonggar dulu.
Dan Winter — dia cuba buat seperti tiada apa yang berlaku. Tapi hakikatnya, setiap kali pandang Autumn, hatinya teringat kata-kata gadis itu: “Saya anak pemilik café ni.”
Kadang dia rasa kecil. Kadang dia rasa… tak layak.
“Latte macam biasa?” tanya Winter satu pagi, cuba berlagak tenang.
Autumn mengangguk sambil tersenyum. “Tapi kali ni tambah sedikit cinnamon, boleh?”
“Boleh.”
Perbualan ringkas itu sepatutnya terasa biasa, tapi kedua-duanya tahu — ada sesuatu yang hilang.
Autumn memerhati Winter dari jauh ketika dia menyediakan minumannya. Jemari lelaki itu cekap seperti selalu, tapi wajahnya nampak jauh. Seolah-olah fikirannya tak berada di situ.
Ketika Winter meletakkan cawan di hadapan Autumn, dia sempat tersenyum.
“Tadi saya cuba resipi baru,” katanya. “Harap awak suka.”
Namun suara mereka kedengaran lembut, tapi hambar. Seolah-olah kedua-duanya takut kalau salah satu kata akan mencederakan suasana.
Hari berlalu. Setiap kali Autumn melangkah masuk ke café itu, dia rasa seperti membawa dua hati — satu yang mahu terus dekat, satu lagi yang mahu menjauh untuk melindungi perasaan sendiri.
Dan Winter pula, dalam diam, hanya memerhati dari jauh. Tak berani bertanya, tak berani juga melepaskan.
Kadang waktu malam, bila dia menutup café, Winter akan menatap meja tempat Autumn selalu duduk. Ada bekas cawan yang masih hangat, ada nota kecil yang Autumn tertinggal — tulisan lembut berbunyi:
“Saya tak nak dunia asingkan kita. Tapi kalau awak perlukan masa… saya tunggu.”
Winter genggam nota itu lama-lama, sebelum meletakkannya semula di dalam poket apron.
Dia tahu… cinta itu masih ada.
Cuma kali ini, ia berjalan perlahan — menunggu waktu untuk berani kembali.
Dia sempurna di mata semua orang, tapi menyembunyikan seribu beban.
Dia punya segalanya, tapi mencari erti sederhana.
Dan bila dua musim bertemu — segalanya berubah.