Tahun berganti, musim datang dan pergi. Cyrra kini menjangkau usia lima belas tahun— membesar sebagai anak kampung yang ceria, tapi diam-diam menyimpan banyak persoalan yang tak pernah terjawab.
Setiap malam, mimpi yang sama datang menghantui. Suara seorang wanita memanggil namanya dalam nada sendu, diiringi bunyi petir yang menyambar menara tinggi. Kadang-kadang dia ternampak cahaya bulan separa di udara, berputar perlahan di atas tapak tangannya.
“Nenek…” suaranya serak pagi itu, “kenapa Cyrra selalu mimpi benda sama?”
Nenek tua itu yang sedang menumbuk herba terhenti seketika. Tangannya bergetar, tapi dia pura-pura tenang.
“Itu cuma mimpi, sayang. Kadang, mimpi datang dari hati yang terlalu ingin tahu.”
“Tapi… dalam mimpi tu, Cyrra dengar suara yang panggil nama Cyrra. Suara dia lembut… tapi sedih.”
Cyrra menunduk, memeluk lututnya. “Macam kenal, tapi tak tahu siapa.”
Nenek hanya diam. Pandangan matanya sayu, menatap kalung berbentuk bulan separa yang tergantung di leher kecil itu — satu-satunya benda yang tak pernah dia tanggalkan sejak malam ribut berdarah dulu.
Petang itu, semasa Cyrra mencuci kain di tepi sungai, dia ternampak bayangan wajah dalam air. Tapi kali ini, bukan wajahnya sendiri — wajah seorang wanita muda dengan mahkota kecil di kepala, tersenyum padanya sebelum hilang disapu arus.
Cyrra menjerit kecil dan terundur. Air berombak, tapi bayangan itu tak muncul lagi.
“Nenek!” jeritnya sambil berlari ke pondok. “Cyrra nampak seseorang dalam sungai!”
Nenek tua itu segera memeluknya erat. “Dengar sini, Cyrra,” bisiknya, suaranya bergetar. “Kalau kau nampak sesuatu, jangan tengok lama-lama. Dunia ni ada banyak rahsia… dan tak semua rahsia mahu ditemui.”
Namun malam itu, bila Cyrra terjaga dari tidur, dia nampak sesuatu di luar jendela — jauh di hujung langit, menara istana Calix bersinar samar di bawah cahaya bulan.
Dilahirkan sebagai puteri, dibesarkan sebagai hamba — Cyrra tidak pernah tahu takhta yang sepatutnya miliknya. Namun takdir tidak pernah melupakan waris yang hilang.
Comments (0)
See all