Angin pagi di pasar Calix berhembus lembut, tetapi hati Cyrra tidak selembut itu. Sejak dua putera itu muncul beberapa hari lalu, fikirannya tak pernah tenang. Ada sesuatu pada mereka — sesuatu yang membuat dadanya terasa penuh, seolah-olah pernah mengenali mereka jauh sebelum hari pertemuan itu.
Namun, Cyrra bukan satu-satunya yang gelisah.
Di istana Calix, Putera Cleo berdiri di hadapan meja besar yang dipenuhi peta. Jari-jarinya mengetuk permukaan kayu perlahan, cuba menenangkan hatinya yang sejak kebelakangan ini tidak pernah sunyi.
“Ayahanda,” katanya perlahan, “izinkan anakanda turun ke wilayah bawah Calix sekali lagi.”
Raja Calix memandangnya lama. “Kerana gadis itu?”
Cleo tidak menjawab, tapi diamnya sudah cukup sebagai pengakuan.
Putera Cecil yang duduk di kerusi bersebelahan bersuara perlahan, “Ayahanda… anakanda pun rasa perkara yang sama. Gadis itu bukan sembarangan.”
Ratu Crystal yang sejak tadi mendengar hanya menggenggam kain jubahnya. “Aku… dapat rasa sesuatu,” bisiknya. “Seolah-olah… darah sendiri sedang memanggil.”
Raja Calix memejamkan mata, menahan perasaan yang cuba meraih masa silam yang dia sendiri takut sentuh.
“Apa pun yang kalian rasa,” katanya akhirnya, “kalian pergi. Selagi ada peluang, kita harus mencari jawapan.”
Dan begitu, dua putera Calix kembali turun ke wilayah miskin itu — dengan hati yang lebih berat dari sebelumnya.
Di sisi lain, ketika matahari hampir condong, Cyrra berjalan pulang dari pasar membawa barang dapur di tangan. Langkahnya perlahan, fikirannya melayang entah ke mana.
Namun sebaik dia membelok ke jalan kecil menuju pondok, dia terasa bulu tengkuknya meremang.
Dia menoleh.
Dua lelaki berjubah biru-perak sedang berbicara dengan penduduk kampung. Wajah mereka… yang dia betul-betul cuba lupakan.
“Kita cari seorang gadis,” kata Cleo tenang tetapi tegas. “Dia kira-kira seusia lewat belasan tahun… memakai kalung berbentuk bulan.”
Cyrra melangkah mundur, tapi terpijak ranting kecil. Bunyi “krek” itu kuat dalam kesunyian petang.
Cecil berpaling dulu — laju, tajam, seperti naluri.
Pandangan mereka bertembung sekali lagi.
Cyrra membeku.
Cecil mengambil satu langkah. “Gadis itu…”
Cyrra terus lari.
Tanpa berpaling.
Tanpa sempat berfikir.
Cleo dan Cecil saling memandang — dan dalam sekelip mata, mereka mengejar.
Nenek tua itu yang sedang menyusun herba di dalam pondok terdengar langkah tergesa-gesa Cyrra dari jauh. Pintu terkuak, dan wajah cucu itu pucat, nafasnya tercungap.
“Cyrra? Apa yang berlaku?!” Nenek bangun dengan cemas.
“Ne—” suara Cyrra bergetar. “Mereka… putera itu. Mereka cari Cyrra.”
Nenek terdiam.
Wajahnya terus berubah.
“Aku dah kata jangan dekat dengan mereka!” bentaknya, suara bergetar ketakutan. “Masuk dalam bilik! Sekarang!”
Cyrra terkejut dengan nada itu, tapi dia ikut. Dia berlari masuk ke bilik kecilnya.
Dilahirkan sebagai puteri, dibesarkan sebagai hamba — Cyrra tidak pernah tahu takhta yang sepatutnya miliknya. Namun takdir tidak pernah melupakan waris yang hilang.
Comments (0)
See all